PETALING JAYA: Bekas wartawan terkenal Kumpulan Utusan, Mohd. Rosli Manah, meninggal dunia di Hospital Kajang, pada pukul 12.59 tengah hari tadi.
Allahyarham Rosli atau lebih mesra disapa sebagai Che Li, 57, menghembuskan nafas terakhir selepas berjuang melawan jangkitan kuman pada otak sejak beberapa minggu lalu.
Menurut isterinya, Asma Ghani, 51, tahap kesihatan Che Li semakin merosot akibat penyakit diabetes yang dihidapnya sehingga membawa kepada masalah jangkitan kuman pada otak.
Tambah Asma, Allahyarham juga telah menjalani pembedahan sebanyak dua kali bagi mengambil sampel air tulang belakang untuk mengenal pasti punca jangkitan itu.
Pemergian Allayarham Che Li disifatkan sebagai kehilangan seorang lagi permata dalam dunia kewartawanan hiburan.
Sebelum ini, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan mahkamah dan hiburan di Utusan Malaysia sebelum dilantik sebagai Editor URTV serta Editor Mangga di bawah Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.
Selepas meninggalkan Utusan Karya Sdn. Bhd. melalui skim Pemberhentian Secara Sukarela (VSS), Rosli mencari rezeki dengan menjual nasi berlauk serta menjadi pemandu e-hailing.
Namun, keadaan kesihatan yang semakin lemah membuatkannya tidak lagi mampu bekerja seperti biasa.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga pernah menziarahi arwah di hospital bagi mengenang jasa Che Li yang banyak menyokong kerjaya anaknya, Dafi, ketika penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia musim kelima pada 2007. – UTUSAN