KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh didakwa sengaja memilih menyembunyikan Titah Adendum membabitkan perintah rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengelirukan mahkamah serta gagal melaksanakan tanggungjawab keterbukaannya (duty of candour).
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan sengaja memilih berbuat demikian walaupun ada bukti beliau mengetahui mengenai kewujudan titah tambahan itu.
Peguam Negara terkini, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar sendiri mengakui kewujudannya.
“Kenyataan responden (Ahmad Terrirudin) dalam afidavitnya yang menggambarkan permohonan semakan kehakiman pemohon (Najib), bersifat spekulatif dan khabar angin (sedangkan responden mempunyai) pengetahuan terhadap fakta material yang berada dalam kawalannya termasuk kewujudan Titah tambahan tersebut.
“Ia dialamatkan kepada Ahmad Terrirudin dengan menyebut nama serta jawatan sebagai Peguam Negara. Beliau tahu ‘mengenai titah itu dan berusaha menghalangnya.
Tanggungjawab untuk berlaku jujur terpakai dengan lebih ketat terhadap Ahmad Terrirudin berbanding orang lain,” hujah Muhammad Shafee.
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berhujah, permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman itu tidak berasas dan penyalahgunaan proses mahkamah.
“Responden tidak menanggung tanggungjawab untuk berlaku jujur pada peringkat kebenaran semakan kehakiman dan oleh itu tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mengesahkan titah itu,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menetapkan 4 September ini untuk keputusan.
Najib memfailkan permohonan komital berbentuk pemenjaraan terhadap Ahmad Terrirudin 21 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini yang didakwa sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujah tidak benar dikemukakan sewaktu permohonan semakan kehakiman berhubung titah itu pertama kali didengar di Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu dan tindakan beliau ketika menjawat jawatan Peguam Negara, bertentangan dengan kewajipan utamanya terhadap pentadbiran keadilan. – UTUSAN









