Bekas peguam bela Azilah antara dilantik Pesuruhjaya Kehakiman

Bekas peguam bela Azilah antara dilantik Pesuruhjaya Kehakiman

WAN Ahmad Farid Wan Salleh (tiga dari kanan) beramah mesra bersama Pesuruhjaya Kehakiman baharu selepas Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Pesuruhjaya Kehakiman di Istana Kehakiman, Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: J. Kuldeep Kumar yang pernah menjadi sebahagian pasukan pembelaan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Inspektor Azilah Hadri dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman, hari ini.

Tahun lalu, beliau turut terlibat dalam prosiding semakan hukuman mati yang meminda hukuman gantung dikenakan terhadap Azilah kepada penjara maksimum 40 tahun.

Peguam terbabit merupakan antara 23 individu yang dilantik memegang jawatan itu.

Selain Kuldeep, seramai 12 peguam dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman.

Antaranya ialah Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor yang juga bekas Presiden Badan Peguam; Datuk Muhamad Adam@Edward Abdullah; Isa Aziz Ibrahim, Dr. Seow Hock Peng, Shahriza Zalina Abdul Shukor, Helmi Hamzah, Rajes Raghavji, Datuk Mohd. Aimi Zaini Azhar, Samry Masri, Moh Kok Wai, Shamsul Bahrin Abdul Manaf, S. Kalyana Kumar, Avinder Singh Gill dan D. Shoba Rajah.

Baki individu-individu yang dilantik pernah berkhidmat dalam perundangan.

Mereka ialah bekas Ketua Bahagian Sivil Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Donald Joseph Franklin; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan, Syed Faisal Syed Amir dan Ketua Unit Rayuan AGC, Datin Asmah Musa.

Turut disenaraikan ialah bekas Ketua Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Datin Anita Harun; bekas Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Darmafikri Abu Adam serta bekas-bekas pegawai kanan Mahkamah Persekutuan, Manira Mohd. Nor, Dr. Noradura Hamzah dan Datuk Edwin Paramjothy.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Azizah Nawawi dengan disaksikan Ketua Hakim

Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Minggu lalu, Wan Ahmad Farid berkata, badan kehakiman komited menyelesaikan tunggakan kes dengan langkah menambah bilangan bilik mahkamah dan pelantikan Pesuruhjaya Kehakiman baharu.

Pelantikan terbaharu tersebut dijangka akan membantu 78 Hakim Mahkamah Tinggi dan 13 Pesuruhjaya Kehakiman sedia ada di seluruh negara bagi mempercepatkan pendengaran kes tertunggak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×