Bekas operator kilang tak mengaku curi cip elektronik lebih RM1.15 juta

Bekas operator kilang tak mengaku curi cip elektronik lebih RM1.15 juta

TERTUDUH (memegang beg plastik) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang bekas operator kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri lima kotak cip elektronik bernilai lebih RM1.15 juta di tempatnya bekerja, April lalu.

Tertuduh, Ruhaizzat Rusol, 33, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan melalui jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Berdasarkan pertuduhan, Ruhaizzat didakwa mencuri lima kotak Xilinx Virtex Ultra Scale cip No ASIC-00947 yang mengandungi 180 keping cip dengan anggaran nilai lebih RM1.15 juta.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dalam sebuah stor berkunci dan berpagar di Bangunan Jabil Plant 2, Bayan Lepas di sini, kira-kira pukul 3.30 petang pada 26 April lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun selain boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani manakala tertuduh diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edmund Anthony Hermon.

Terdahulu, ketika prosiding, Lushani memohon jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta mahu syarat tambahan dikenakan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah susulan nilai barang kes tinggi.

Bagaimanapun, Anthony Hermon merayu agar jaminan minimum diberi atas alasan tertuduh kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dan masih menyara ibunya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 25 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN