PETALING JAYA: Kecederaan pada badan boleh dikenal pasti melalui proses bedah siasat dijalankan walaupun mayat tersebut telah meninggal dunia kira-kira tiga minggu lalu.
Sumber berkata, sekiranya keadaan jenazah yang digali semula dalam keadaan baik, proses bedah siasat mudah dijalankan dan mengambil masa sehari dua.
Mengambil contoh kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir, katanya, sekiranya keadaan jenazah dalam keadaan baik seperti dilaporkan, proses bedah siasat dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian atau mengesan sekiranya terdapat kecederaan meragukan.
“Bagaimanapun, sekiranya keadaan jenazah sudah mereput, sebarang tanda kecederaan boleh dikesan melalui analisis dijalankan terhadap tulang pada mangsa sekiranya terdapat hentakan atau sebagainya.
“Bagaimanapun ia bergantung pada tahap kecederaan si mati termasuk kesan patah pada tulang mayat bagi mengenal pasti cara dia jatuh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, pakar forensik ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Zafarina Zainuddin berkata, sisa tisu manusia boleh digunakan untuk mengenal pasti punca kematian sekiranya jasad mangsa sudah reput.
Katanya, sekiranya keadaan jenazah telah mengalami pereputan, proses bedah siasat dijalankan agak sukar dan akan mengambil masa.
“Bagaimanapun, DNA mangsa masih boleh diperoleh walaupun badan telah mula mereput selain didapati dari tulang.
“Ujian toksikologi boleh dibuat menggunakan rambut mangsa. Namun demikian, adalah mengambil sedikit masa untuk sampai ke rambut tetapi akan kekal dalam tempoh yang lama dalam rambut.
“Bagi mengesan kecederaan luar, ia bergantung pada tahap kecederaan dan pereputan mayat,” katanya.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah, meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu.
Pada 1 Ogos lalu, ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan manakala peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
Susulan itu. Pejabat Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina pada 9 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
Bedah siasat dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini. – UTUSAN










