Bawalah ‘kudis penyapu’ ke dalam Bersatu - Mohd. Puad

Bawalah ‘kudis penyapu’ ke dalam Bersatu – Mohd. Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyertaan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memberi sebarang kerugian kepada UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sebaliknya berkata, tindakan Mohamad Khir itu hanya membawa beban lama ke parti baharu.

“UMNO tidak rugi sesen pun. Bawalah ‘kudis penyapu’ ke dalam Bersatu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Mohd. Puad berkata, rakyat termasuk akar umbi UMNO, penjawat awam dan orang Melayu masih belum melupakan legasi kontroversi ‘penyapu’ ketika Mohamad Khir menjadi Menteri Besar Selangor yang didakwa menjadi antara punca kejatuhan UMNO di negeri itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran Mohamad Khir mengulas mengenai usaha untuk menjadikan Melayu kembali dominan khususnya di Selangor sedangkan realiti politik semasa telah berubah.

“Tiba-tiba cakap soal dominan semula. Tetapi cara fikir politik, dari segi realiti dan taktikal, jauh ketinggalan zaman,” katanya.

Mohd. Puad berkata, dominasi politik tidak semestinya bermaksud UMNO perlu bertanding di banyak kerusi atau menang majoriti dua pertiga. 

Sebaliknya, kejayaan UMNO berkongsi kuasa di peringkat pusat dan mentadbir beberapa negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan Pahang adalah langkah awal ke arah dominasi semula.

“Dominan hari ini bukan lagi tentang angka. Ia adalah dominan dalam agenda rakyat, prestasi menteri, prinsip dan konsistensi,” katanya.

Justeru, katanya, alasan Khir menyertai Bersatu adalah lemah dan tidak mencerminkan realiti politik baharu.

“Dia sudah tidak relevan dan tidak membawa apa-apa nilai baharu kepada Bersatu,” katanya lagi.

Mohd. Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Johor mendakwa, Mohamad Khir hanya menyertai Bersatu kerana tidak dapat menerima kerjasama UMNO dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kerajaan Perpaduan.

“Malah, dia masih bernafsu untuk menjadi calon. Dia kecewa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15. Sebab itulah dia lompat parti,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik memaklumkan penyertaan Mohamad Khir ke dalam Bersatu bertujuan memperkukuh jentera pilihan raya parti menjelang pilihan raya negeri dan Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini, yang turut dihadiri Mohamad Khir dan beberapa ahli politik lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×