GUA MUSANG: Seorang bapa Orang Asli dari Kampung Redip, Pos Hau di sini terkejut selepas anak perempuannya disahkan sebagai orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran pada usia 29 tahun.
Rosmawati Anjang disahkan sebagai OKU semasa Program Kembara Merdeka Be Ades Ma yang membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kakitangan kesihatan turun padang bagi memberikan khidmat kepada penduduk Orang Asli di pedalaman di sini, semalam.
Bapanya, Anjang Ayeh, 50, berkata, Rosmawati kelihatan seperti manusia normal lain namun tingkahnya masih lagi seperti kanak-kanak dan pertuturan kadangkala sukar difahami.
Katanya, tingkah anaknya itu berbeza apabila sering berkawan dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun hingga 10 tahun dan tidak pandai bergaul dengan orang dewasa.
“Kami perhatikan pergaulannya juga tidak seperti wanita seusianya dia lebih suka berkawan dengan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun hingga 10 tahun,” katanya.
Anjang berkata, masalah pengangkutan menjadi kekangan utama buat masyarakat Orang Asli untuk berjumpa agensi kerajaan kerana terpaksa tempuh perjalanan hampir dua jam menggunakan jalan tanah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya mengesan ramai ibu bapa atau waris masyarakat Orang Asli tidak mendaftarkan anak OKU dengan JKM.
Katanya, masalah itu menyebabkan mereka tertinggal menikmati hak istimewa yang sepatutnya diterima golongan berkenaan.-UTUSAN










