KUALA TERENGGANU: Seorang buruh bersama isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 10 bulan sehingga mengalami kecederaan fizikal, awal bulan ini.
Mohammad Saiful Ikhwan Abdul Rahman, 27, dan isterinya, Nor Azila Sharif Ahmad, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya yang juga bapa kandung dan ibu tiri yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa didakwa mengabaikan kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di rumah mereka di Kampung Banggol Manir, Kuala Terengganu antara Mac hingga 6 Ogos lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan kedua-duanya diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi sepanjang prosiding dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 September ini. – UTUSAN










