GEORGE TOWN: Semua masjid di Pulau Pinang diarahkan untuk mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat khas secara serentak selepas solat Maghrib, malam ini.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, arahan itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang meninggal dunia pada 16 Julai lalu.
“Pulau Pinang turut bersama dengan seluruh umat Islam di negara ini bersatu hati memanjatkan doa agar Allah memberikan kekuatan serta ketabahan hati kepada keluarga Zara Qairina.
“Kesedihan yang dirasai di Sabah turut dirasai di Pulau Pinang sekali gus membuktikan bahawa kasih sayang dan kepedulian sesama umat Islam melangkaui jarak dan sempadan,” katanya di sini hari ini.
Pelajar tingkatan satu itu menghembuskan nafas yang terakhir selepas dijumpai tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asramanya dan dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah menengah agama di Sabah.
Semalam, polis mengesahkan bahawa Zara Qairina mengalami kecederaan otak yang teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak yang berpunca daripada jatuh.
Kecederaan yang dikesan selepas bedah siasat itu juga selari dengan dapatan awal yang menunjukkan bahawa ia konsisten dengan insiden jatuh.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, seluruh masyarakat Islam diajak untuk menghadiri program bacaan Yasin dan solat hajat yang dijalankan secara serentak itu sebagai tanda kasih serta simbol ukhuwah sesama Islam.
“Kita memohon kepada Allah agar mengampuni dosa Zara Qairina, mencucuri rahmat-Nya serta menempatkan kanak-kanak itu dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya.
Mohamad turut berharap agar doa yang dipanjatkan secara berjemaah malam ini menjadi sumber ketenangan dan kekuatan kepada keluarga Zara Qairina selain menjadi asbab turunnya rahmat dan keberkatan Allah kepada negeri ini dan seluruh umat Islam.










