APA 2012: Amir Hariri dilepaskan dan dibebaskan

APA 2012: Amir Hariri dilepaskan dan dibebaskan

Amir Hariri Abd Hadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan berkait Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad memaklumkan pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap Amir Hariri.

“Sebagaimana keputusan Mahkamah Persekutuan dan sebagaimana prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memohon kes ditarik balik dengan mengguna pakai Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah. Ini kerana kes masih belum dibicarakan,”katanya.

Seksyen 173(g) menyatakan tiada apa yang dinyatakan dalam perenggan terdahulu seksyen berkenaan boleh dianggap menghalang Mahkamah untuk melepaskan tertuduh pada mana-mana peringkat kes sekiranya Mahkamah mendapati pertuduhan adalah tidak berasas.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa peruntukan Seksyen 9(5) PAA, yang memperuntukkan hukuman terhadap penganjur yang gagal memberikan notis lima hari lebih awal kepada polis sebelum mengadakan perhimpunan, adalah tidak berperlembagaan.

Farah Nabihah selepas membuat pertimbangan sewajarnya memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan.

“Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, perintah keputusan daripada Mahkamah Persekutuan dan juga mengambil maklum mengenai fakta bahawa kes telah dihantar semula daripada Mahkamah Tinggi dan diturunkan untuk saya membuat keputusan.

“Pihak pendakwaan juga setakat ini belum menerima arahan untuk mendakwa semula tertuduh, oleh itu, mahkamah memberikan perintah agar tertuduh dilepas dan dibebaskan, wang jaminan dikembalikan sepenuhnya,” kata Farah Nabihah.

Pada prosiding hari ini, Amir Hariri diwakili peguam Rajsurian Pillai.

Pada 1 Julai lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) APA 2001 itu sebagai tidak berpelembagaan dan terbatal kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pada 26 Ogos 2022, Amir Hariri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini berhubung perhimpunan ‘Mana Kapal Tempur Pesisir (LCS)’ yang diadakan pada 14 Ogos 2022.

Adam Hariri didakwa selaku penganjur gagal memaklumkan pegawai polis yang menjaga daerah Dang Wangi lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 2 petang, 14 Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 9 (1) APA 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN