AOT masuk zon konflik Thai-Kemboja

AOT masuk zon konflik Thai-Kemboja

Mohd Nizam Jaffar (kiri) menerima cenderahati daripada Komandan Maktab Ketahanan Nasional, Brigedier Jeneral Abdul Karim Ahmad (kanan) selepas Majlis Pemasyhuran "Hall of Fame" kepada personaliti pertama Maktab Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional Putrajaya, semalam. UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR/PEMBERITA - HUSNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan pelaksanaan gencata senjata antara Thailand dan Kemboja akan memasuki kawasan konflik di kedua-dua negara itu.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, beliau sendiri telah memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengeluarkan surat kepada ke­dua-dua pemimpin negara berkenaan berhubung perkara itu.

Katanya, AOT yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN akan berada di lapangan secara berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata sedia ada.

“Penugasan itu amat mencabar kerana ia melibatkan pemantauan kawasan sempadan sepanjang kira-kira 840 kilometer dan ia juga akan dibantu secara logistik oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya ditemui selepas Majlis Pemasyhuran ‘Hall of Fame’ kepada personaliti pertama Maktab Ketahanan Nasional di Maktab Ketahanan Nasional di sini, semalam.

Katanya, setelah selesai Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) baru-baru ini, sebuah pasukan pemerhati iaitu AOT telah dipersetujui untuk diwujudkan.

Mohd Nizam berkata, AOT disertai atase pertahanan dari negara-negara ASEAN dan ia diketuai oleh penyiasat pertahanan Malaysia di Bangkok dan Phnom Penh.

“Semalam, mereka berada di Bangkok dan telah memberi taklimat kepada 75 pegawai kanan daripada pihak Thailand dan juga langkah-langkah yang harus diambil.

“Begitu juga dengan Phnom Penh. Pada esok dan lusa, mereka akan buat lawatan tapak di kawasan zon konflik. AOT ini diberi mandat untuk memastikan perjanjian gencatan senjata dipatuhi,” katanya.

Gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai lalu yang dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia sehari sebelumnya, yang membawa negara berkonflik itu ke meja rundingan dan melaksanakan gencata senjata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN