PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berbincang dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet bagi membincangkan mengenai perkembangan terkini melibatkan gencatan senjata antara pihak Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua pihak menyentuh perihal pasukan pemerhati sementara (IOT) yang telah menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara tetangga.
Selain itu, katanya, beliau dan Hun Manet berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT.
“Kami turut menyentuh perihal pasukan pemerhati sementara (IOT) yang telah menjalankan pemantauan rapi di kawasan sempadan kedua-dua negara tetangga dan berbincang lanjut mengenai langkah lain yang boleh dilakukan untuk memperkemas keberkesanan operasi pemantauan oleh IOT,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Pada 28 Julai lalu, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang memuncak di sepanjang sempadan belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara itu.
Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei lalu susulan pertempuran tentera antara kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan Preah Vihear yang dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.-UTUSAN










