PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan tempoh selewat-lewatnya sebulan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua ketua jabatan kerajaan bagi mengemukakan kajian menyeluruh tentang kesan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam meningkatkan produktiviti sektor awam.
Perdana Menteri berkata, meskipun kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan besar mencecah berbilion ringgit untuk program transformasi digital termasuk AI, masih wujud kebimbangan mengenai apa yang digelar sebagai AI productivity paradox atau ‘paradoks produktiviti AI’.
Menurut beliau, laporan kajian antarabangsa termasuk oleh United Nations University dan McKinsey menunjukkan penggunaan teknologi digital serta AI tidak semestinya menjamin peningkatan hasil dan produktiviti, malah ada ketikanya memberi kesan sebaliknya.
“Tujuan kita melaksanakan transformasi digital dengan AI ialah untuk meningkatkan produktiviti. Namun, pengalaman lepas membuktikan tidak semua peralihan teknologi membawa hasil yang dijangka.
“Banyak syarikat gergasi besar yang lain mengalami AI productivity paradox. Berbelanja berbilion ringgit untuk menjamin produktiviti. Soal ketelusan, mengurangkan kerenah birokrasi dan menghentikan amalan rasuah dan pemberian komisyen (tetap keutamaan).
“(Jangan akhirnya) AI itu berinformasi, tetapi hasilnya tidak ke mana. Justeru, saya mahu KSN, semua ketUa jabatan kerajaan untuk menangani permasalahan ini dan memberikan laporan dalam tempoh dua minggu hingga sebulan. Jangan mengulangi masalah yang pernah berlaku,” katanya ketika berucap di Putrajaya, hari ini.
Anwar turut mengingatkan agar dana besar yang dibelanjakan bagi transformasi digital tidak berakhir dengan kegagalan akibat kelemahan pengurusan, ketelusan dan pemantauan.
Tegas beliau, aspek tadbir urus baik, integrasi sistem serta penilaian hasil perlu diberi keutamaan agar negara tidak mengulangi kesilapan lalu yang akhirnya merugikan kerajaan dan rakyat. – UTUSAN










