Anthony Loke arah DAPSY buat laporan polis terhadap Akmal Salleh - Utusan Malaysia

Anthony Loke arah DAPSY buat laporan polis terhadap Akmal Salleh

ANTHONY LOKE SIEW FOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara membuat laporan polis terhadap tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh yang mengetuai perarakan dan demonstrasi di hadapan sebuah kedai logam di Kepala Batas, semalam.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, laporan polis akan dibuat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan) dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

Katanya, tindakan itu disifatkan sebagai satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga terlibat walaupun peniaga tersebut telah memohon maaf berhubung kesilapan pemasangan Jalur Gemilang.

“Tindakan Akmal mengabaikan amaran pihak polis adalah perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam sehingga menimbulkan kegusaran peniaga di sekitar kawasan tersebut, malah menyebabkan mereka terpaksa menutup perniagaan lebih awal.

“Perbuatan seperti ini melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anthony Loke menegaskan, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara yang wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan namun mengugut dan membuli bukanlah cara menyelesaikan sesuatu isu.

“Saya sekali lagi menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan. 

“Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN