KOTA BHARU: Seluruh wang termasuk simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta barang kemas milik seorang ibu tunggal berusia 50-an lesap selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis.
Lebih mengejutkan, wanita yang juga pengurus pelaburan itu menerima antara enam hingga lapan panggilan sehari daripada sindiket berkenaan sebelum menyerahkan keseluruhan wang miliknya bernilai hampir RM1.2 juta sepanjang tempoh dua bulan.
Mangsa bagaimanapun hanya tersedar dirinya ditipu selepas tempoh tersebut sebelum membuat laporan polis kira-kira dua minggu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai polis sebelum memberitahu wanita itu terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Menurut beliau, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan teknik panggilan telefon yang memaparkan nombor seolah-olah milik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ketika menghubungi mangsa.
“Siasatan awal mendapati, mangsa menerima enam hingga lapan panggilan sehari daripada sindiket. Sepanjang tempoh dua bulan, mangsa menyerahkan wang simpanan, barang kemas dan wang KWSP bernilai hampir RM1.2 juta kepada sindiket berkenaan.
“Berdasarkan keterangan wanita itu, segala wang di dalam bank miliknya habis licin diserahkan kepada ‘scammer’. Mangsa juga tidak memaklumkan kejadian yang menimpanya kepada ahli keluarga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff berkata, siasatan mendapati barang kemas yang digadai serta wang KWSP milik mangsa bernilai hampir RM500,000 turut diserahkan kepada sindiket terbabit.
Katanya, mangsa dikatakan baru tersedar dirinya diperdaya selepas dua bulan sebelum membuat laporan polis kira-kira dua minggu lalu.
“Setakat ini, kes melibatkan ibu tunggal ini merupakan kerugian terbesar yang dicatatkan bagi jenayah komersial melibatkan seorang individu.
“Kita sudah mengenal pasti sindiket yang terlibat dan tindakan lanjut sedang dijalankan,” ujarnya.-UTUSAN











