Anak jadikan pondok agama tempat buang ibu bapa uzur

Anak jadikan pondok agama tempat buang ibu bapa uzur

MOHD. Khairul Hafizan Ne’ Mat (kiri) bersama pelajar Pondok Ilmu Seri Mahkota melihat musolla yang kini dalam pembinaan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kewujudan pondok pengajian agama yang menyediakan kemudahan penginapan bagi warga emas kini menjadi sasaran segelintir pihak membuang ibu bapa mereka, dengan menjadikan alasan belajar agama sebagai sandaran.

Perkara itu didedahkan Mudir Pondok Ilmu Seri Mahkota, Mohd. Khairul Hafizan Ne’ Mat yang menubuhkan pondok pengajian agama khusus untuk orang dewasa dan warga emas sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia banyak menerima panggilan daripada individu yang mahu menempatkan ibu bapa mereka yang sudah uzur termasuk berusia 98 tahun, kononnya bagi memudahkan mereka mendalami ilmu agama.

Namun, beliau berkata, hakikat sebenar sebahagian anak-anak hanya mahu melepaskan tanggungjawab menjaga orang tua mereka kepada pengurusan pondok.

“Pondok ini bukan pusat jagaan warga emas. Syarat utama penghuni ialah sihat dan mampu mengikuti pengajian. Ada yang cuba jadikan alasan belajar agama untuk letak ibu bapa mereka di sini, sedangkan tujuan sebenar hanya mahu pondok menjaga mereka.

“Memang tidak dinafikan ada penghuni yang memilih untuk menghabiskan sisa kehidupan mereka di pondok dan tidak ingin pulang ke pangkuan keluarga. Tetapi pondok bukan tempat untuk ‘membuang’ orang tua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohd. Khairul Hafizan berkata, jika berlaku kecemasan, pihak pondok akan membantu tetapi urusan janji temu perubatan serta tanggungjawab penjagaan kekal di bawah anak-anak.

Bercerita tentang Pondok Ilmu Seri Mahkota yang ditubuhkannya, beliau berkata, pondok itu kini menampung 15 penghuni tetap manakala kehadiran pelajar harian mencecah 60 orang.

“Dengan tenaga pengajar seramai empat orang, kelas asas seperti fiqh, tauhid, adab, akhlak dan al-Quran diadakan secara santai dari pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi, dengan yuran pengajian seikhlas hati.

“Bagi penghuni pondok pula dikenakan infak bulanan RM230 untuk sewa bilik lengkap dengan dapur dan bilik air serta  kelas mengaji selepas Asar dan Subuh,” katanya.

Menurut beliau, pihak pondok kini dalam usaha membina sebuah surau bagi kemudahan pelajar selain untuk menampung jumlah pelajar yang semakin ramai.

“Kelas yang ada tidak lagi dapat menampung jumlah pelajar yang ramai, namun dengan adanya surau atau musolla itu nanti dapat menampung sehingga 200 orang pada satu masa. Pembinaan musolla baharu kini sudah 70 peratus siap dengan kos semasa mencecah RM328,000 hasil sumbangan orang ramai.

“Kini kami hanya memerlukan RM150,000 lagi bagi menyiapkan musolla terutama untuk kos pemasangan karpet, membina kubah dan lain-lain. Orang ramai yang mahu menginfak pembinaan musollaj terbabit boleh menghubungi saya di talian 0134247539,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN