KOTA BHARU: Dua lelaki yang merupakan anak kepada seorang doktor dicekup polis Selasa lalu selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran ganja di Kampung But, Ketereh di sini.
Dalam serbuan pukul 4.30 petang itu polis menjumpai 35 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM299,590 selain merampas sepucuk pistol bersama 16 butir peluru.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya turut menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang juga ibu kepada kedua-dua suspek.
Katanya, saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki yang merupakan adik beradik tiri positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.
“Siasatan awal mendapati suspek menjadikan rumah mereka sebagai transit sebelum mengedarkan bahan terlarang kepada pelanggan menggunakan perkhidmatan kurier.
“Suspek dipercayai aktif melakukan kegiatan ini sejak tahun 2023. Sebelum ini kegiatan itu dilakukan oleh rakannya yang sedang di penjara,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita dua buah kereta mewah, sebuah kenderaan pelbagai guna dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Katanya, kesemua dadah ini dipercayai masuk ke Kelantan melalui pangkalan haram yang terdapat di kawasan Sungai Golok.
“Semua dadah ini dipercayai untuk pasaran pantai barat. Jika terlepas ke pasaran ia boleh digunakan oleh 35,000 orang.
“Kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula 6 Ogos lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










