KOTA BHARU: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding sekurang-kurangnya tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata, setakat ini proses rundingan berhubung pembahagian kerusi masih berjalan melibatkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) serta Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Katanya, proses itu perlu dimuktamadkan sebelum hujung bulan ini berikutan kemungkinan besar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan bulan depan.
“Sekarang ini, ia masih dalam tempoh rundingan yang membabitkan banyak peringkat termasuk PH dengan BN, PH dengan GRS serta rundinga PH sesama PH.
“Kita berharap Amanah mendapat dua atau tiga kerusi daripada 73 kerusi keseluruhannya,” katanya pada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bulan Kemerdekaan Peringkat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Ibu Pejabat KADA, Lundang, di sini hari ini.
Khalid berkata, walaupun Amanah masih di peringkat awal bertapak di Sabah, parti itu optimis mampu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRN itu nanti. – UTUSAN









