KOTA BHARU: Proses rundingan kerusi Parti Amanah Negara (Amanah) kini di peringkat akhir bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 tidak lama lagi.
Naib Ketua Awan Malaysia, Dr.Hafidzah Mustakim berkata, keputusan senarai nama calon tersebut pula dilakukan di peringkat pucuk pimpinan parti dan dimuktamadkan dalam perbincangan.
“Saya difahamkan bahawa proses rundingan kerusi sedang giat dijalankan dan sudah sampai di peringkat akhir. Senarai nama calon sudah ada dan keputusan ditentukan pucuk pimpinan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Agihan Jalur Gemilang di Pasar Kubang Pasu di sini hari ini.
Hafidzah berkata, Sabah merupakan negeri yang besar dan bilangan kerusi mungkin lebih untuk PRN itu nanti.
Katanya, pihaknya yakin dengan semangat Malaysia Kerajaan Perpaduan Madani sudah tentu pihak yang mahu terlibat akan diberikan ruang.
“Lagi pun Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara, Datuk Aiman Athirah Sabu berada di hadapan dalam proses rundingan kerusi di Sabah. Beliau (Aiman Athirah) juga orang Sabah. Jadi saya yakin perkara ini akan dititikberatkan dan yang utama adalah intergrasi nasional,” katanya. – UTUSAN










