IPOH Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dan Al-Ikhsan Sports Sdn. Bhd. memeterai kerjasama dengan pengeluar barangan sukan itu sebagai penaja utama pasukan Perak FA bagi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26.
Menerusi perjanjian itu, Al-Ikhsan akan membekalkan pakaian dan kelengkapan rasmi pasukan yang akan digunakan oleh pemain dan pegawai sepanjang musim ini.
Sebagai permulaan, pasukan akan menggunakan jersi sementara bagi tiga perlawanan awal musim, sebelum pelancaran rasmi jersi home dan away yang dijadual berlangsung pada September.
Pafa merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Al-Ikhsan atas sokongan yang diberikan.
Penajaan itu bukan sahaja memenuhi keperluan asas pasukan, malah menjadi simbol keyakinan terhadap hala tuju baharu yang sedang digerakkan Pafa.
Presiden Pafa, Datuk Azhar Jamaluddin berkata, kerjasama itu bukan sekadar penajaan semata-mata, tetapi simbol harapan baharu buat seluruh penyokong.
“Kami percaya, kehadiran semula jenama Al-Ikhsan bersama Perak FA akan menghidupkan kembali semangat dan kenangan manis tahun 2018, saat kita menjulang Piala Malaysia dan meraih pingat emas Sukma.
“Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin kebangkitan semula bola sepak Perak, dan menyatukan semula para penyokong di bawah satu panji, demi cinta kita kepada negeri dan pasukan ini,” katanya. – UTUSAN