PETALING JAYA: Pelakon, Sharnaaz Ahmad meluahkan hasratnya untuk kembali beraksi membintangi naskhah filem yang berkualiti.
Menurut Sharnaaz, dirinya kini tidak terikat dengan mana-mana projek bahkan bosan kerana tiada sebarang pekerjaan.
“Aku perlukan filem yang bagus. Aku bosan dan tiada kerja,” katanya.
Perkongsian yang menuai perhatian ramai itu diluahkan menerusi sebuah hantaran di Instagram Story, baru-baru ini.
Dalam perkongsian lain, pelakon filem Blood Brothers: Bara Naga turut menegaskan dia hanya ingin berkarya dan bukan mahu menonton filem.
“Aku bukan nak tonton filem. Aku nak berlakon!
“Kalau nak tengok filem, lebih baik menonton Senario. Selama-lamanya klasik!” tegasnya.
Sebelum ini, nama Sharnaaz kembali dijulang selepas kemunculannya menerusi filem Blood Brothers: Bara Naga yang meraih kutipan pecah panggung sejak April lalu.
Difahamkan, Sharnaaz tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran filem ketika ini dan bakal muncul menerusi naskhah terbaharunya, Magik Rompak pada September depan.-UTUSAN