Aksi empat penerjun Paskal pukau 40,000 pengunjung Hari Kebangsaan di Kedah

Aksi empat penerjun Paskal pukau 40,000 pengunjung Hari Kebangsaan di Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama melibatkan pegawai dan anggota Batalion Keenam RAMD sempena Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Kedah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kira-kira 40,000 pengunjung di Dataran Medan Bandar, di sini terpaku seketika tatkala empat anggota elit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) muncul bergaya dari langit sebelum mendarat sambil mengibarkan bendera keramat.

Detik-detik mendebarkan pada Istiadat Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Kedah itu bermula sebaik sahaja pesawat Fennec dari Skuadron 502 TLDM meluncur di udara, lalu empat penerjun muncul satu persatu dari ketinggian 4,000 kaki di ruang udara Kedah.

Sorakan orang ramai memecah suasana apabila Pegawai Waran 1 Mohd. Kamil Mustafa mendarat gagah dengan Jalur Gemilang.

Turut mencuri perhatian, Pegawai Waran 2 Khairil Azhar Hashim yang terjun bersama bendera Kedah, diikuti Leftenan Mohd. Azhar Kamarudin membawa bendera TLDM, manakala Laskar Kanan Muhamad Rohaizat Khayri melengkapkan terjunan dengan bendera Paskal.

Juruterbang aksi berani itu ialah Leftenan Komander Mohd. Asyraff Ibrahim dari TLDM bersama pembantunya, Leftenan Mohamad Taufik Mokhtar yang memastikan setiap penerjun mendarat tepat di lokasi.

Sebelum langit ‘dibelah’, acara bermula dengan istiadat penuh adat ketenteraan di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berangkat bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta kerabat diraja Kedah dan orang kenamaan lain.

Kawalan Kehormatan Utama diketuai Mejar Mohd. Afiq Ismail melibatkan tiga pegawai serta 103 anggota Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Bukan itu sahaja, tujuh pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk lima Pilatus PC-7 MkII turut membuat terbang lintas hormat, seakan-akan melukis jalur patriotisme di dada langit Kedah.

Keseluruhannya, sebanyak 119 kontinjen melibatkan 4,000 peserta mewakili kerajaan negeri, agensi dan jabatan kerajaan, swasta, pasukan keselamatan negara, institusi pendidikan dan badan bukan kerajaan menyertai perarakan kali ini menjadikan sambutan bukan sahaja meriah, tetapi cukup bergema dalam ingatan rakyat yang hadir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN