Ahli Parlimen Pendang dakwa Rayer terlibat peristiwa 13 Mei

Ahli Parlimen Pendang dakwa Rayer terlibat peristiwa 13 Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat berlaku kekecohan selepas Ahli Parlimen Jelutong (PH), RSN Rayer membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (9C) berhubung kenyataan Ahli Parlimen Pendang (PN), Datuk Awang Solahuddin Hashim tentang peristiwa 13 Mei 1969, baru-baru ini.

Rayer mempersoalkan tiada sebarang tindakan diambil terhadap Awang Solahuddin walaupun telah mengusulkan beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

“Saya telah mengusulkan Yang Berhormat Pendang dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana isu ini melibatkan keamanan dan kesejahteraan negara.

“Kenapa seorang ahli Parlimen Pas dibenarkan mengungkapkan kenyataan sedemikian dan tidak diambil tindakan? Saya mohon panduan perkara ini,” katanya sebelum sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian menjelaskan sudah menghantar surat kepada Pendang dan masih menunggu jawapan bertulis daripadanya.

Situasi kemudian bertukar tegang apabila Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin bangun mencelah.

Zhemin: Pendang ada di dalam Dewan, kenapa tidak minta beliau bagi penjelasan, jangan tunda jawapan. Pendang, kalau berani bangun dan jelaskan.

Rayer: Saya pelik kenapa Pendang tidak dapat surat lagi. Sedangkan, saya yang mengemukakan usul itu telah menerima surat yang dihantar kepada beliau.

Awang Solahuddin: Tan Sri, saya ingat beliau (Jelutong) terlibat semasa peristiwa 13 Mei, sebab itu beliau suka ‘kacau’ sangat.

Zhemin: Pendang tarik balik, mana boleh buat tuduhan begitu.

Johari kemudian berusaha menenangkan keadaan selepas perbalahan dan pertikaman lidah di antara ketiga-tiga ahli Parlimen tersebut.

Johari : Minta Pendang tarik balik kenyataan, saya dengar Pendang.

Awang Solahuddin: Okey, tarik balik

Isnin lalu, Awang Solahuddin semasa mencelah ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri tidak memberi tumpuan kepada pembangunan untuk Bumiputera, sebaliknya memberi perhatian kepada perkampungan baharu Cina.

Beliau mengaitkan isu rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 boleh tercetus selepas mendakwa RMK13 mengetepikan kepentingan Bumiputera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN