Agensi penguat kuasa berdepan cabaran pengurusan aset hasil jenayah - Utusan Malaysia

Agensi penguat kuasa berdepan cabaran pengurusan aset hasil jenayah

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurusan aset atau harta tak alih hasil sitaan daripada pelbagai agensi penguatkuasa berdepan dengan pelbagai cabaran.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, antara cabaran dihadapi agensi penguatkuasa ketika ini termasuk kos penyelenggaraan, hutang bank dan penyusutan nilai apabila kes mengambil masa lama untuk diselesaikan di mahkamah.

“Kalau bangunan yang disita masih ada hutang dengan bank atau perlu dibayar sewaan, persoalannya siapa yang akan menguruskan perkara ini sehingga kes selesai.

“Banyak berlaku, contohnya kenderaan atau bangunan yang rosak ketika menunggu proses kes selesai, dan bila dijual harganya semakin menurun,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (RTD) 2025 di sini hari ini.

Program RTD anjuran SPRM menghimpunkan pelbagai agensi penguat kuasaan termasuk National Financial Crime Centre (NFCC) bagi membincangkan penyelesaian isu kritikal dalam pengurusan aset yang dirampas mengikut kesalahan masing-masing.

Azam berkata, SPRM sebagai sekretariat kepada pasukan khas renta agensi di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil langkah menyelaras perbincangan antara agensi bagi mencari pendekatan terbaik menangani masalah itu.

“Kami membawa semua agensi penguatkuasa ke meja perundingan untuk membincangkan isu kritikal ini dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan pada masa akan datang,” jelasnya.

Tambah Azam, selain  RTD, penyelarasan dan jaringan strategik antara pelbagai pihak dalam memastikan proses pelupusan aset lucut hak berjalan secara pragmatik, efisien dan berintegriti.

Jelasnya, usaha pemulihan aset adalah komponen kritikal dalam memerangi jenayah kewangan transnasional. 

“Ia bukan sekadar inisiatif  domestik, tetapi merupakan tuntutan dan kehendak piawaian antarabangsa yang digariskan oleh badan-badan seperti Financial Action Task Force (FATF) dan United Nations Convention Against Corruption (UNCAC),” ujarnya.

Kata beliau, dalam konteks Malaysia, komitmen SPRM terhadap piawaian antarabangsa ini adalah jelas. 

“Operasi-operasi SPRM sebelum ini seperti Op Metal dan sitaan aset kes penyelewengan dana lebuh raya adalah selaras dengan kehendak FATF serta UNCAC untuk memulihkan aset yang diperoleh daripada aktiviti jenayah,” katanya.

Tegas Azam, mengembalikan hasil negara yang telah diseleweng sekaligus memulihkan keyakinan rakyat terhadap integriti sistem keadilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN