‘Adegan asal lebih liar, isteri tahu lakonan saya’ - Utusan Malaysia

‘Adegan asal lebih liar, isteri tahu lakonan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI pelakon, Shahz Jaszle, tiada apa yang terlepas daripada pengetahuan isterinya, Nur Hanis Husna, termasuklah beberapa adegan mesra bersama Nelissa Nizam dalam drama Seadanya Kita.

Menurut Shahz atau Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 37, isterinya bukan sahaja membaca setiap skrip lakonan malah turut bertindak sebagai pengurus yang merancang segala kempen berkaitan media sosial.

Tambahnya, dia bersyukur kerana isterinya tidak pernah sedikit pun melarang malah meletakkan kepercayaan kepada dirinya untuk menjayakan apa jua karakter dengan profesional.

“Sebenarnya orang rumah saya ada sekali tonton adegan itu, masa saya tengah baca skrip pun, dia baca sekali cuma tidak beri sebarang komen. Dia faham kerja saya sebagai pelakon.

“Mungkin ramai tidak tahu yang saya ada dua orang pengurus. Pertama Yasmin yang uruskan kerja berkaitan lakonan dan satu lagi ialah isteri saya sendiri yang uruskan segala kempen di media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut adegan duduk di ranjang bersama Nelissa yang berpakaian seksi, Shahz menafikan drama itu cuba membawa unsur soft porn sebaliknya babak penting untuk menunjukkan kecurangan yang dilakukan karakter lakonannya, Farouq.

“Sebenarnya adegan itu sudah dikurangkan sebaik mungkin. Kalau ikutkan imaginasi asal, adegan itu sepatutnya lebih liar. Namun kami faham bagaimana budaya industri kita di Malaysia, risau juga jika tidak diterima umum.

“Jadi, sisanya hanya sedikit sahaja adegan agak berani kami tonjolkan. Lagipula di set penggambaran kami ada pengarah, abang Feroz Kader yang akan kawal keadaan. Jika lakonan dirasa keterlaluan, dia akan tegur,” tambahnya.

Dalam pada itu, jejaka asal Kuala Lumpur itu juga yakin skrip tersebut telah melalui proses tapisan daripada banyak pihak sebelum sampai ke tangannya. Oleh itu sebagai pelakon, dia wajar untuk bersikap profesional menjelmakan apa yang diinginkan sesuai kehendak skrip.

“Soal perjalanan cerita, semua itu penulis skrip sudah usahakan sebelum dihantar kepada pihak produksi. Pihak produksi juga sudah bincang dengan penerbit sama ada setiap adegan dalam skrip itu diterima atau tidak.

“Selepas melalui beberapa proses tapisan itu, barulah skrip sampai kepada kita. Saya percaya dengan proses itu dan cuba menjayakan tugas saya sebagai pelakon sebaik mungkin,” katanya.

Ini bukan kali pertama Shahz membawakan karakter lelaki durjana, cuma dia tidak menafikan wataknya kali ini lebih kejam dan bersedia dihina oleh seluruh Malaysia.

“Bila tengok skrip, saya memang jangkan akan dicop red flag, lelaki tak guna atau apa sahaja. Saya sendiri pun jijik lihat karakter lakonan saya. Tapi percayalah ia sangat berat.

“Tapi saya sudah bersedia jika di zaman media sosial sekarang ini orang akan tularkan, buatkan meme kejam untuk saya. Jika saya boleh buat itu semua, ini petanda positif bahawa saya berjaya menjelmakan karakter Farouq dengan baik,” tambahnya.

Seadanya Kita merupakan drama romantik 15 episod mengisahkan seorang wanita bernama Alani yang dicurangi suaminya. Dia kemudian menjadi ibu tunggal dan membesarkan anak sendiri. Tidak lama selepas itu, dia jatuh cinta dengan seorang artis lelaki, Kerol yang jauh lebih muda daripada.

Turut sama menjayakan drama yang ditayangkan di Viu itu ialah Emma Maembong, Mierul Aiman, Ara Johari dan Nelissa Nizam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN