97 peratus pelajar pra siswazah IPTA warganegara - Utusan Malaysia

97 peratus pelajar pra siswazah IPTA warganegara

ZAMBRY Abd. Kadir (tengah) menurunkan tandatangan pada plag sebagai gimik Perasmian Kompleks Akademia di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, Terengganu hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kemasukan pelajar asing ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan melanjutkan pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, berdasarkan rekod Unit Pusat Universiti (UPU) tahun ini, seramai 497,020 orang atau 97.26 peratus pelajar pra siswazah di IPTA adalah warganegara manakala hanya 13,986 orang atau 2.74 peratus terdiri daripada pelajar asing.

“Angka ini jelas membuktikan bahawa kouta pelajar tempatan tidak diambil untuk diberikan kepada pelajar luar.

“Malah kouta yang ditetapkan kerajaan untuk rakyat tidak langsung disentuh,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Kompleks Akademia dan Tinjauan Projek Tebatan Banjir di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebelum ini yang membangkitkan isu kononnya berlaku lambakan pelajar China di beberapa universiti awam, termasuk program asasi.

Zambry berkata, semua universiti awam diwajibkan memenuhi kouta pelajar tempatan sepenuhnya terlebih dahulu sebelum membuka ruang kepada pelajar antarabangsa selaras dengan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi.

“Universiti hanya mengambil pelajar luar jika masih ada kekosongan selepas keperluan pelajar tempatan dipenuhi dan tujuannya adalah untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat global serta memperkukuh hubungan akademik antarabangsa,” katanya.

Mengulas isu yuran, beliau menepis dakwaan bahawa pelajar asing membayar dengan kadar lebih murah berbanding pelajar tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian sedang memperhalusi isu gangguan bekalan air di semua institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk masalah air kehitaman yang tular di Politeknik Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya belum menerima laporan terperinci mengenai masalah di Politeknik Kota Bharu namun siasatan dijalankan sebaik sahaja maklumat lengkap diperoleh.

Ujarnya, isu bekalan air di IPT bukan hanya berlaku di Kelantan malah turut dilaporkan di beberapa negeri lain seperti Sabah.

“Kita mahu tahu punca masalah terlebih dahulu sama ada ia berpunca daripada kerosakan, kebocoran atau bekalan air yang tidak mencukupi. Setakat ini, saya belum mendapat laporan rasmi.

“Di Sabah, masalah bekalan air berlaku kerana kuantitinya yang tidak mencukupi daripada jabatan bekalan air negeri. IPT hanyalah pengguna dan bergantung kepada bekalan yang disediakan pihak berkuasa negeri,”ujarnya.

Mengulas perkembangan lain, Zambry berkata masalah banjir yang kadangkala menjejaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ketika Monsun Timur Laut (MTL) dijangka dapat diatasi selepas projek tebatan banjir bernilai RM40 juta siap pada April 2026.

Menurutnya, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kini siap 24 hari lebih awal daripada jadual dan akan membantu melindungi kawasan kampus daripada limpahan air akibat hujan lebat dan fenomena air pasang besar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN