7 ditahan, dadah dalam cecair vape RM1.5 juta dirampas

7 ditahan, dadah dalam cecair vape RM1.5 juta dirampas

Fadil Marsus menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis membongkar kegiatan pengedaran katrij cecair rokok elektronik (vape) mengandungi dadah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai hampir RM1.5 juta dalam operasi pada 22 Ogos lalu.

Beberapa siri serbuan dilakukan di ibu negara selepas sindiket ini dikesan berselindung di sebalik kediaman berpagar dan berpengawal untuk menyimpan dan memproses dadah itu.

Hasil serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Kuala Lumpur berjaya menahan sembilan individu termasuk seorang wanita warga Thailand berusia antara 24 hingga 34 tahun

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil maklumat dan risikan membawa kepada serbuan pertama di sebuah residensi di Jalan Kuchai Jaya di sini, pada pukul 7.45 malam.

Katanya, dalam serbuan itu, seorang lelaki dan wanita ditahan ketika berada di hadapan lif sebelum mereka membawa ke sebuah rumah didiami mereka.

“Dalam pemeriksaan dijalankan menemukan beberapa bungkusan dan kotak berisi dadah jenis MDMA serta katrij cecair mengandungi dadah sama.

“Pasukan kemudian menyerbu beberapa lagi kediaman di sekitar Kuala Lumpur dan menahan tujuh individu terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita termasuk seorang warga Thailand yang disyaki ahli sindiket sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.

Fadil memberitahu, sebanyak 3,587 gram; katrij cecair vape mengandungi MDMA telah dirampas diikuti 7,600 mililiter (ml) dan botol cecair MDMA dianggarkan 39,000 ml dengan nilai semua rampasan itu berjumlah RM1.49 juta.

“Siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan mempunyai peranan masing-masing sebagai pengurus, penyelia dan runner (penghantar).

“Sindiket dipercayai bergerak aktif sejak hujung tahun lalu dan mengedarkan dadah di sekitar Lembah Klang,” jelasnya.

Fadil berkata, ujian saringan air kencing semua suspek didapati negatif dan polis masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti dalang dan ahli sindiket lain.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan dadah berkenaan untuk diedarkan kepada pelanggan tetap termasuk pelajar sekolah.

“Kesemua dadah dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh lebih 35,000 orang sekiranya terlepas ke pasaran.

“Suspek masih direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN