5,578 titik akses WiFi dipasang di politeknik, kolej komuniti - Utusan Malaysia

5,578 titik akses WiFi dipasang di politeknik, kolej komuniti

Azani, pelajar Diploma Rekabentuk Grafik Semester 3 Politeknik Ibrahim Sultan mengenai kelajuan wifi di asrama politeknik itu sempena Majlis Penyerahan Projek Pemasangan dan Penaiktarafan Rangkaian Wifi di Pasir Gudang, hari ini. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasang 5,578 unit WiFi di 20 politeknik dan 43 kolej komuniti seluruh negara bagi meningkatkan capaian internet di institusi berkenaan.

Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), A. Azman Arshad berkata, kesemua peranti tersebut akan siap dipasang, bulan ini.

“Projek ini merupakan kerjasama strategik antara MCMC dan JPPKK bertujuan untuk memperluas dan menaik taraf WiFi di institusi pendidikan tinggi teknikal negara, iaitu politeknik dan kolej komuniti.

“Kemudahan ini dijangka akan memberi impak besar kepada keseluruhan pengalaman pembelajaran dan kesejahteraan penuntut,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Pemasangan dan Penaiktarafan Rangkaian WiFi di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah PIS, Ulaimi Yahya; Pengarah Seksyen Pembangunan MCMC Johor, Khairol Nizam Mohd. Mostar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Numix Engineering Sdn. Bhd., Kamal Rashid Abdul Razak.

Tambah A. Azman, pelaksanaan projek ini di Zon Johor melibatkan beberapa politeknik dan kolej komuniti antaranya Kolej Komuniti Bandar Penawar; Kolej Komuniti Batu Pahat; Kolej Komuniti Kluang; Kolej Komuniti Kota Tinggi; Kolej Komuniti Pagoh dan Kolej Komuniti Segamat.

“Teknologi terkini daripada Huawei digunakan dalam projek ini bagi menyediakan sambungan WiFi berkelajuan tinggi, manakala sistem kawalan dan pemantauan pula dibangunkan berasaskan teknologi awan.

“Di PIS, seramai lebih 1,000 penuntut bakal menerima manfaat daripada pemasangan lebih 170 titik akses WiFi termasuk di 170 bilik kediaman penuntut, bilik rekreasi, surau serta kafeteria,” ujarnya.

A. Azman turut memberitahu, program bertemakan ‘WiFi Cepat, Prestasi Hebat’ itu diharap dapat merapatkan jurang digital dan memperkukuh infrastruktur teknologi maklumat di institusi pendidikan.

“Usaha ini juga mencerminkan komitmen kami dalam memperkasa ekosistem pendidikan tinggi teknikal negara melalui kerjasama rentas agensi dan sektor,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penuntut PIS, K. Logapriya, 21, memberitahu, kemudahan tersebut bakal membantunya melaksanakan tugasan dengan lebih baik selepas ini.

“Ia juga memudahkan kami menjalani kelas secara dalam talian, kerana setiap minggu memang akan ada beberapa kelas dalam talian,” kata penuntut Diploma Pengurusan Acara itu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN