KUALA NERUS: Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM180,000 bagi program pelepasan 346,000 ekor benih ikan dan udang galah ke perairan umum di seluruh negeri sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Pang Nyukang berkata, program pelepasan benih itu dilaksanakan secara berperingkat melibatkan pelbagai spesies ikan air tawar tempatan.
Katanya, antara spesies yang dilepaskan ialah lampam sungai, baung, terbul dan udang galah yang mempunyai nilai komersial tinggi serta berpotensi memperkaya biodiversiti sungai dan sumber pendapatan komuniti setempat.
“Bekalan benih ini diperoleh hasil peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Jerantut, Pahang.
“Program ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan tumpuan perikanan darat di seluruh negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Program Pelepasan Benih Ikan di Perairan Umum di Sungai Nerus, di sini.
Pang berkata, daerah Kuala Nerus mempunyai tujuh nelayan tulen berdaftar yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di Sungai Nerus.
“Program pelepasan benih ikan ini dijangka memberi manfaat bagi 178 orang nelayan darat yang berdaftar dengan jabatan, penduduk setempat serta pengusaha eko-pelancongan.
“Sehingga bulan ini, sejumlah 756,330 ekor benih dilepaskan di pelbagai lokasi termasuk Sungai Besut, Sungai Marang, Sungai Kemaman, Sungai Terengganu, Tasik Kenyir dan Sungai Ibai,” katanya.
Pang berkata, jumlah keseluruhan pelepasan benih ikan ke perairan umum Terengganu pada tahun lalu adalah sebanyak 851,025 ekor dengan anggaran nilai RM289,985.
Katanya, program itu bertujuan memulihara dan menambah stok sumber perikanan darat yang semakin berkurangan akibat faktor semula jadi serta aktiviti manusia yang tidak terkawal.
Katanya, inisiatif itu juga mampu memberi kesan positif terhadap pembangunan sektor eko-pelancongan, selain membuka peluang pendapatan tambahan kepada komuniti nelayan darat.
“Diharapkan usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan dan penduduk, tetapi menyumbang kepada kelestarian sumber asli negeri,” ujarnya.










