NIBONG TEBAL : Selepas hampir satu dekad menunggu, 23 keluarga yang tinggal di Ladang Sungai Kechil di sini akhirnya menerima berita gembira apabila mereka bakal berpindah ke rumah baharu di bawah projek pembangunan Rumah MutiaraKu (RMKu) tidak lama lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, menerusi projek itu, setiap keluarga akan diberikan rumah gantian secara percuma dan kerajaan negeri juga akan membina semula tiga buah kuil tanpa sebarang bayaran di tapak asal.
Katanya, mengikut perancangan, pengambilalihan tanah seluas hampir 2.5 hektar untuk projek itu telah selesai sejak tahun lalu di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 selepas persetujuan dicapai dengan pemilik hartanah sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Justeru, setiap keluarga ini akan menerima rumah jenis C1, iaitu teres satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air serta lengkap dengan tempat letak kereta di bahagian hadapan.
“Ketika ini, sebuah syarikat juga telah dipilih untuk membangunkan projek ini dan mereka perlu mengemukakan pelan kebenaran merancang terlebih dahulu. Sekiranya diluluskan segera, kita jangka pembinaan dapat dimulakan awal tahun depan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama bagi Projek RMKu di Tanah Lot 10059, Mukim 8, Daerah Seberang Perai Selatan antara Ketua Pegawai Bisnes Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), Fakhurrazzi Ibnu Omar dengan Pengarah Sierra Residences (M) Sdn Bhd, Datuk Khoek Su Kiang.
Mengulas lanjut, Kon Yeow projek RMKu secara keseluruhannya membabitkan 85 unit rumah yang akan dibina secara berfasa dengan keutamaan diberi kepada 23 unit untuk penduduk sedia ada.
“Baki 62 unit akan dibuka untuk jualan kepada umum dan sepanjang tempoh pembinaan itu, penduduk tidak perlu dipindahkan kerana tanah mereka masih mencukupi. Malah, mereka akan dapat masuk ke rumah baharu yang lebih tersusun apabila siap,”katanya.-UTUSAN