KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,134 kes Notis Penolakan Masuk (NTL) membabitkan warga asing yang cuba masuk ke negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dicatatkan sehingga Julai lalu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, jumlah kes tersebut dilihat meningkat sebanyak 20 peratus berbanding Mei.
Katanya, pada Mei lalu, 900 kes NTL dicatatkan dan meningkat kepada 987 (Jun) dan 1,134 untuk Julai.
“Terbaharu, seramai 40 warga Bangladesh telah diberi NTL ke Malaysia di KLIA1 berdasarkan maklumat awal dan trend kemasukan dalam satu operasi pemantauan awal di sini, pagi tadi.
“Mereka merupakan sebahagian daripada 134 warga asing yang diperiksa sejurus mendarat menerusi dua penerbangan dari Dhaka antara pukul 1 pagi hingga 6 pagi,” katanya.
Menurutnya, penolakan kemasukan itu dibuat selepas semakan dokumen perjalanan, tujuan kemasukan dan tiket pulang.
“Siasatan mendapati niat kemasukan mereka mencurigakan serta tidak mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Kesemua mereka akan dihantar ke negara asal dalam tempoh 24 jam,” katanya.
Dalam kes berasingan, AKPS turut menahan tiga warga asing yang membabitkan dua warga Algeria dan seorang Iraq kerana menyalahgunakan pas lawatan dengan menjalankan aktiviti mengemis di Balai Pelepasan KLIA1 hari ini.
Katanya, penahanan itu dibuat dalam satu operasi pemantauan Ulat KLIA yang dijalankan dengan kerjasama Pasukan Keselamatan KLIA (AVSEC) antara pukul 8.30 pagi hingga 10.30 pagi.
“Perbuatan mereka bukan sahaja melanggar syarat kemasukan ke Malaysia, tetapi menjejaskan imej negara serta mengganggu keselesaan penumpang di lapangan terbang.
“Ketiga-tiga mereka kemudiannya telah diserahkan kepada Bahagian Penguat kuasa Jabatan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. – UTUSAN









