IPOH : Enam pemain yang membantu skuad hoki wanita remaja negara mara ke Kejohanan Remaja Dunia di Chile pada Disember depan terpaksa diketepikan kerana melebihi had umur.
Mereka ialah Nur Hazlinda Zainal Abidin, Anith Humairah Baharuddin, Thibatharshini James, Siti Nur Atika Sheikh Maznan, Nur Shafika Ahmad Kamil dan Nor Farida Sulaiman.
Young Tigress berjaya merebut slot terakhir ke Piala Dunia Remaja Wanita yang bakal berlangsung di Santiago, Chile, selepas menundukkan Thailand, 6-0 pada pusingan terakhir kelayakan di Muskat, Oman.
Berikutan itu, Pengurus pasukan, Datuk Sayuti Abdul Samad berkata, pihaknya telah memanggil pemain baharu bagi mengisi kekosongan itu.
Katanya, pemain baharu terbabit sudah melaporkan diri ke dalam kem latihan bermula semalam di Stadium Hoki Azlan, Shah, Ipoh.
Latihan di bawah kendalian jurulatih, Lailin Abu Hassan diadakan di Ipoh dari 23 Jun hingga 31 Jun ini.
“Pasukan Remaja akan mula berlatih Fasa Kedua di Ipoh mulai 23 hingga 31 Julai sebagai persiapan menghadapi Piala Tun Razak di Kuala Lumpur pada September nanti,” katanya.
Menurut Sayuti, Ketua Jurulatih mempunyai perancangan pada bulan Oktober untuk latihan dan perlawanan di Australia dan China.
“Kami berharap mendapat kelulusan sekurang-kurangnya ke China bagi memantapkan lagi pasukan Young Tigress,” katanya. – UTUSAN