KUALA TERENGGANU: Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) terus komited membantu usahawan dan komuniti luar bandar menerusi pendekatan inovasi sosial yang menyentuh cabaran sebenar di peringkat akar umbi.
Menerusi program Jejak Inovasi Zon Timur, YIM mengadakan lawatan ke empat lokasi di sekitar daerah ini bagi meninjau potensi dan cabaran yang dihadapi usahawan mikro dan komuniti tempatan sama ada dari segi kos operasi tinggi, kekangan teknologi sehingga kepada ketahanan bahan mentah.
Salah satu lokasi tumpuan adalah premis usahawan wanita dikenali sebagai Cik Ning yang berjaya mengangkat produk kraftangan berasaskan batik ke tahap lebih profesional hasil pendekatan inovatif dari segi proses pengeluaran.
Ketua Pegawai Eksekutif YIM, Dr. Sharmilla Mohamed Salleh berkata, pendekatan program itu bukan sekadar menilai hasil akhir sesuatu produk, sebaliknya memberi tumpuan kepada keseluruhan proses bagi mengenal pasti ruang inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh golongan sasar.
“Kadangkala cabaran bukan kepada produk tetapi proses sebelumnya. Kita lihat bagaimana inovasi boleh bantu mengurangkan kos, mempercepat kerja atau menghasilkan bahan alternatif yang lebih tahan dan menjimatkan.
“Cik Ning satu contoh yang kita mahu ketengahkan. Ramai lagi usahawan seperti beliau tetapi tersekat kerana tiada bimbingan atau akses kepada solusi inovasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada lawatan produk di sini, kelmarin.
Menurut Sharmilla, geran yang disalurkan YIM bukan berbentuk tunai sepenuhnya tetapi lebih kepada pembangunan produk, reka bentuk sistem dan penggunaan teknologi mampu milik yang relevan dengan keperluan tempatan.
YIM turut memperkenal Youth Innovative Challenge yang menyasarkan produk ciptaan pelajar institusi pengajian tinggi dari peringkat diploma hingga sarjana muda.
Seramai 10 peserta terbaik dibimbing selama enam bulan dan menerima geran bernilai RM40,000 setiap seorang.
“Selalunya produk pelajar hanya habis di pameran. Tapi kali ini kita bimbing mereka jadi pengusaha sebenar, cipta peluang pekerjaan dan bentuk komuniti mereka sendiri.
“Kita mahu inovasi yang lahir dari komuniti tempatan ini sampai ke tahap global. Kita percaya mereka mampu, jika dibimbing dengan betul,” katanya.
Menariknya, seorang daripada 10 peserta terbaik bakal fipilih untuk ke Switzerland menerusi kerjasama YIM dengan Universiti Northwestern bagi mengikuti program pendedahan teknologi inovasi.
Tiga pemenang utama dari Terengganu bagi program tersebut ialah Sarah Abd. Samat dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang muncul juara dengan produk GenomicGo diikuti Muhammad Fatihin Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan OptoBraille serta Nur Syauqina Mohd Suhaimi dari University College TATI (UC TATI) yang memperkenal platform pintar Dash-A.-UTUSAN