XPDC Kita Peng Yu: Tawau, tunggu kami datang! - Utusan Malaysia

XPDC Kita Peng Yu: Tawau, tunggu kami datang!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA tinggalkan sebentar segala kemelut dan perang mulut yang melanda kumpulan legenda ini kerana segala isu tersebut telah dirungkai sewaktu sesi sidang media khas berhubung isu berbangkit
penggunaan jenama XPDC yang diadakan pada 9 Julai lalu. Oleh itu, semua pihak yang terlibat harus menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh pihak Life Records, di mana hanya lapan individu sahaja yang berhak menggunakan jenama XPDC.

Oleh itu, syarikat tersebut telah mengeluarkan amaran bahawa mana-mana individu yang menggunakannya tanpa kebenaran bakal berdepan dengan tindakan perundangan. Baiklah, mungkin secara logiknya kita menganggap hal ini sudah selesai, namun dari sudut penerimaan individu berkepentingan dan peminat ia masih tidak mencapai kata putus yang diharapkan. Masing-masing tekad
memberikan hujah, siapa yang layak dan siapa yang tidak. Jangan sakit kepala! Kita tinggalkan isu ini sebentar.

Apa yang menjadi fokus utama sekarang adalah perjalanan karier XPDC Kita Peng Yu (yang merupakan salah sebuah kumpulan diberi hak menggunakan jenama XPDC) ketika ini. Diterajui oleh Ary (vokal), Jeff (gitar), Zua (bass) dan Amy (dram), mereka berempat meneruskan legasi perjuangan yang ditinggalkan oleh arwah Mael yang meninggal dunia pada 27 April 2023 di Hospital Muar kerana sesak nafas.

Masih mengekalkan konsep dan identiti seperti sebelumnya, XPDC Kita Peng Yu terus mendapat sambutan peminat sehinggakan populariti kumpulan ini meningkat dan meletakkan mereka antara kumpulan yang mampu menarik ribuan penonton dalam setiap persembahan.

Dalam perkembangan terkini, XPDC Kita Peng Yu bakal mencipta sejarah baharu dalam perjalanan karier mereka apabila menjadikan Tawau, Sabah sebagai destinasi pertama Konsert Satu Arah Tour Borneo yang bakal diadakan pada 26 Julai ini. Konsert yang berdurasi lebih dua jam ini dianjurkan oleh Soundvalley Festival dijangka menghimpunkan naskhah terbaik mereka di samping mempromosikan single terbaharu
bertajuk Satu Arah yang baru dilancarkan sebelum ini.

Menurut Pengarah Urusannya, Harris Baba, bandar Tawau menjadi lokasi pilihan memandangkan banyak permintaan daripada peminat untuk menyaksikan persembahan XPDC Kita Peng Yu di sini. Malah Tawau juga dilihat sebagai tempat bertapaknya rockersrockers yang masih aktif sehingga hari ini.

“Kita memang buat survey sebelum pilih lokasi. XPDC Kita Peng Yu memang dapat demand tinggi daripada peminat di sana, jadikenapa tidak kita realisasikan permintaan mereka? Mungkin peminat-peminat sekitar Sabah, Sarawak mahupun Brunei boleh datangmenyaksikan konsert ini.

“Lagipun kita sedia maklum ramai mpenggemar muzik rock yang masih bertapak di sana, jadi lokasi yang kita pilih nampaknya tidak salah, malah dilihat bertepatan,” ujarnya.

Tambahnya, XPDC Kita Peng Yu juga akan menampilkan persembahan berbeza berbanding sebelumnya, terutamanya melalui sistem audio dan penataan pencahayaan yang lebih hebat dan bertenaga. Menurut pemain bassnya Zua, penambahbaikan ini dilihat bukan sahaja untuk memberikan kualiti yang berganda
kepada peminat tetapi bakal membezakan persembahan mereka yang kebanyakannya percuma sebelum ini.

“XPDC Kita Peng Yu memang selalu mengadakan persembahan secara percuma dan terbuka kerana kita dibayar terus oleh penganjur. Mereka percaya dengan membawa XPDC Kita Peng Yu dalam setiap festival, pasti akan mendapat sambutan meriah di luar jangkaan, sekaligus membantu pendapatan
para peniaga yang turut serta berniaga di situ.

“Tetapi apabila kita mengadakan konsert berbayar (bertiket), konsepnya sudah berlainan. Pastinya kita akan memberi kelainan dari pelbagai sudut, ini penting untuk membezakan standard kami dalam dua persembahan yang berbeza. Pemilihan lagu, audio, penataan cahaya, kualiti produksi, semuanya perlu diambil kira,” ujarnya.

Menurut Pengurus XPDC Kita Pengyu, Mohd. Yazid Selamat, sejarah telah membuktikan persembahan XPDC Kita Peng Yu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton malah lagu-lagunya sudah sebati dengan peminat muzik rock tempatan.

“Kita akan menjanjikan sebuah konsert Istimewa yang sarat dengan lagu-lagu hits. Saya amat meyakini bahawa XPDC Kita Peng Yu memiliki kredibiliti yang cukup untuk menampilkan persembahan yang mantap dan bertenaga, pastinya akan memberikan kepuasan kepada peminat di sana,”

“Bukan itu sahaja, peminat yang hadir juga berpeluang bertemu anggota kumpulan dalam sesi meet and greet yang diadakan sebelum konsert nanti selain boleh memenangi pelbagai hadiah yang disediakan
oleh pihak penganjur,”

Konsert XPDC Kita Pengyu, Satu Arah Borneo Tour 2025 bakal diadakan pada 26 Julai 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, Sabah bermula pukul 8 malam. Tiket-tiket berharga RM57, RM78 dan RM89 kini sudah mula dijual secara dalam talian. Untuk sebarang tempahan boleh layari: https://www.myticketempire.com atau hubungi: 012-2038870 dan 013-6897380.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN