KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki ratusan unit minyak wangi tiruan menggunakan cap dagangan berdaftar, tiga tahun lalu.
Muhammad Ahsan, 36, dan Saghir Shaheen, 35, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki 838 unit minyak wangi yang menggunakan cap dagangan berdaftar tanpa kebenaran bagi tujuan perdagangan di sebuah premis di sebuah pusat beli-belah di sini, pada pukul 1.45 petang, 3 Ogos 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Nor Abyan Anwar mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan mereka hanya bekerja dengan pemilik premis berkenaan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta menetapkan tarikh sebutan pada pada 19 Ogos ini. – UTUSAN










