GEORGE TOWN : Walaupun baru sahaja dibebaskan dari penjara akibat kesalahan berkaitan dadah tahun lepas, seorang lelaki warga emas nyata tidak serik apabila dia ditahan semula dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Gelugor, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan sempena operasi khas itu dijalankan oleh sepasukan anggota termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Beliau berkata, selain lelaki berusia 62 tahun yang dipercayai suspek utama bagi sindiket pemprosesan serta pengedaran dadah jenis MDMA itu, turut ditahan ialah seorang rakannya iaitu lelaki tempatan berusia 40 tahun yang bekerja sebagai ejen hartanah.
“Susulan penahanan kedua-dua suspek, polis turut merampas beberapa jenis dadah termasuk 150 paket plastik serta sembilan botol berisi serbuk MDMA dengan anggaran berat 13.46 kilogram (kg) selain dua biji pil ekstasi dan satu biji Erimin 5.
“Dua buah kenderaan masing-masing bernilai RM50,000 dan RM20,000 selain wang tunai RM1,220 juga disita di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM2.31 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Alwi berkata, berdasarkan siasatan, sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menjual satu peket dadah pada harga sekitar RM300.
“Ada sebahagian daripada bahan dadah yang dirampas ini bagaimanapun masih belum sempat diproses,” katanya yang memaklumkan, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan sehingga 100,000 kali jika terlepas ke pasaran gelap.
Dalam pada itu, beliau berkata, kondominium yang menjadi lokasi serbuan itu pula dipercayai telah disewa sejak tiga bulan lalu pada kadar RM3,000 sebulan dan dijadikan makmal bagi memproses dadah sintetik untuk pasaran tempatan, khususnya di pusat-pusat hiburan.
“Siasatan mendapati, lelaki warga emas ini mempunyai kemahiran khusus dalam pemprosesan dadah dan tidak serik walaupun pernah dikenakan hukuman sebelum ini,” katanya yang memberitahu, rumah sewa yang dijadikan tempat memproses dadah itu juga dilengkapi dengan peralatan khas bagi tujuan menghasilkan serbuk MDMA.
Tambah beliau, kedua-dua suspek juga disahkan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine serta ketamin dan mereka kini direman selama tujuh hari iaitu sehingga 23 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN