SUNGAI SIPUT: Seorang wanita warga emas melalui detik mencemaskan apabila terserempak dengan seekor gajah liar jantan ketika berada di kebun durian miliknya di Kampung Lasah di sini, Isnin lalu.
Mariam Hitam, 63, berkata, dia yang datang ke kebun untuk mengutip buah durian sekitar pukul 9 pagi itu tidak menyedari kehadiran gajah berkenaan kerana menyangka sebagai batang pokok.
“Saya terkejut apabila lihat gajah itu di depan mata. Selalunya kita akan menemui najis gajah atau kesan pokok yang dimusnahkan tapi kali ini langsung tiada petunjuk kehadiran haiwan liar itu.
“Malah, bunyi gajah itu pun tidak kedengaran, menyebabkan saya tidak sedar haiwan tersebut sebenarnya berada begitu hampir dengan saya,” katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi pemindahan gajah oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, di sini hari ini.
Menurutnya, dia bagaimanapun bersyukur kerana haiwan liar itu membelakangi dirinya ketika kejadian berlaku dan segera berundur perlahan-lahan untuk menyelamatkan diri.
“Saya beritahu rakan mengenai kehadiran gajah itu dan dia pada mulanya tidak percaya. Setelah diperiksa kami sekali lagi terperanjat apabila mendapati terdapat seekor lagi gajah jantan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, kehadiran gajah itu bukan sahaja menyebabkan dia kerugian hasil durian malah menimbulkan rasa takut untuk ke kebun ekoran bimbang diserang haiwan liar itu.
“Sepanjang tinggal di sini dan membuat kerja-kerja kampung, tidak pernah lagi saya melihat gajah di depan mata. Kejadian ini menyebabkan saya demam akibat terkejut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, dua ekor gajah jantan dipercayai berusia 25 tahun dengan anggaran berat 2.5 tan itu merupakan mamalia dari kumpulan ID Piah.
Menurutnya, khidmat dua gajah denak iaitu Rambai dan Cheri digunakan untuk memujuk dan menarik keluar gajah liar berkenaan ke atas lori.
“Aduan mengenai gangguan gajah liar diterima daripada penduduk kampung sejak Februari lalu namun semakin kerap sepanjang bulan ini berikutan musim buah.
“Dua ekor gajah liar yang berada dalam keadaan sihat ini akan dipindahkan ke kawasan habitat semula jadi yang lebih sesuai dan selamat,” katanya.
Tambahnya, operasi memindahkan gajah yang memakan masa lebih tiga jam itu disertai 21 kakitangan Perhilitan Perak termasuk dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang. – UTUSAN