IPOH: Bekas Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu kini menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Perak berkuatkuasa hari ini.
Wan Mohd. Zahari yang dinaikkan pangkat Senior Asisten Komisioner itu mengambil alih jawatan tersebut daripada Senior Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin@Hilmi.
Zairulnizam yang berkhidmat selama hampir empat bulan di Perak kini bertugas sebagai Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) JKDNKA Bukit Aman.
Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas itu disaksikan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin di Mes Pegawai Kanan Polis Perak, di sini hari ini.
Pada majlis sama, Noor Hisam turut menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman dan Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Jafri Md Zain serta pemakaian pangkat dua pegawai kanan polis itu.
Beliau juga menyempurnakan pemakaian pangkat kepada enam pegawai kanan polis iaitu Asisten Superintenden Mohd. Fared Fadilah Mohd. Daud dan Asisten Superintenden Nur Iman Md Rahim dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah serta Asisten Superintenden Muhamad Ain Fikri Ngassri dari IPD Kuala Kangsar.
Turut dikenakan pemakaian pangkat kepad Asisten Superintenden Siti Rabiah Kassim dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak, Asisten Superintenden Mohd. Fazli Abd. Rahman (IPD Batu Gajah) dan Asisten Superintenden Azrene Shazwani Abd. Manap (IPD Ipoh). – UTUSAN