Video menari keterlaluan, Aisha Retno mohon maaf sekadar ikut trend - Utusan Malaysia

Video menari keterlaluan, Aisha Retno mohon maaf sekadar ikut trend

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Aisha Retno, memohon maaf sekiranya video tariannya bersama rakan selebriti, Vanessa Reynauld yang tular mengundang perasaan kurang senang dalam kalangan peminat. 

Ujar Aisha atau Sharifah Aisha Retno binti Sayed Sipulijam, 24, video tarian itu dirakam kerana mahu mengikuti trend semasa di TikTok selepas acara parti mendengar album sulungnya, Re.Hab, baru-baru ini.

“Sebenarnya ramai yang belum lihat trend asal video tarian itu. Saya hanya buat ikut trend di media sosial. 

“Mungkin juga disebabkan saya sedang gembira ketika itu, memandangkan video itu dirakam ketika acara listening party album saya (Re:Hab), jadi saya buat saja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tidak menyangka video tersebut menjadi perhatian dan dibanjiri kecaman, Naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 itu enggan mengeruhkan keadaan dan tampil memohon maaf.

“Apapun, saya hargai teguran orang ramai dan memohon maaf kalau buat mereka kurang selesa. 

“Apa-apa yang kurang daripada diri saya, Insya-Allah saya akan perbetulkan untuk masa hadapan,” tambahnya. 

Mengulas lanjut mengenai album tersebut, Aisha berkata Re.Hab merupakan album studio pertamanya yang memuatkan lima buah lagu pelbagai genre.

Antara yang mencuri tumpuan ialah single pop rock Tak Adil, diikuti dengan lagu pop etnik, Jeda serta tiga buah lagi iaitu O.R.B.I.T, Lengkapilah Kita (Missing Peace) dan Titik Temu (duet bersama Megat Fazly).

“Lagu-lagu ini sedikit sebanyak ada yang bersangkut paut dengan perasaan yang saya pernah lalui sendiri. Seperti lagu O.R.B.I.T, ia adalah tentang rasa kita bermimpi ketika mencintai seseorang.

“Lagu Lengkapilah Kita (Missing Peace) pula, tajuknya sudah jelas menggambarkan rasa dalam hati ramai orang kerana sudah tentu kita mahu hidup berpasangan dan melengkapi antara satu sama lain. 

“Sementara itu, lagu Titik Temu pula menceritakan tentang rasa tertanya-tanya sama ada masih mungkin kita bertemu dengan orang yang sama atau orang yang baharu untuk menjalin cinta,” jelasnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN