Vape akan diharamkan di seluruh negara

Vape akan diharamkan di seluruh negara

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji untuk mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape di seluruh negara sebagai langkah menjaga kesihatan awam sebagai perlindungan terhadap remaja serta kanak-kanak.

Bagaimanapun pengharaman itu akan dibuat secara teliti mengambil kira pelbagai aspek termasuk impak perundangan, penguatkuasaan dan kesihatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penelitian menyeluruh sedang dijalankan bagi menilai keberkesanan langkah kawalan sedia ada dan keperluan dasar yang lebih komprehensif demi melin­dungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, bagi mencapai kawalan yang lebih menyeluruh, khasnya dalam agenda pengharaman sepenuhnya terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape, ia masih lagi di bawah kuasa kerajaan Persekutuan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Kepakaran telah diadakan pada 22 Julai lalu. Susulan itu, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan empat kementerian utama ia­itu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Jabatan Peguam Negara (AGC),” katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN–Pokok Sena) di Dewan Rakyat, berhubung pendirian kerajaan terhadap tindakan beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan vape.

Dzulkefly berkata tindakan penguatkuasaan juga terus dipertingkatkan, antaranya kompaun sebanyak RM20,000 dikenakan ke atas seorang pengedar di Kinta, Perak atas kesalahan iklan dan RM30,000 ke atas pengedar di Titiwangsa kerana menjual secara dalam talian.

Dzulkefly turut menyambut baik langkah enam kerajaan negeri termasuk Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang, yang memutuskan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape.

Katanya kementerian me­nyambut baik keputusan tersebut memandangkan kuasa pelesenan premis perniagaan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah kerajaan negeri.

Pendekatan ini katanya, turut sejajar dengan aspirasi untuk melindungi kesihatan awam, namun, kawalan yang dilaksanakan pada masa ini hanya melibatkan larangan penjualan produk merokok di premis tertentu seperti kedai khas dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka.

“Buat masa ini, KKM memberi keutamaan kepada pendekatan kawal selia yang ketat terhadap produk merokok melalui pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“(Ia) merangkumi keperluan pendaftaran produk, larangan pengiklanan, promosi dan tajaan, kawalan terhadap penjualan serta larangan merokok di tempat kawasan larangan merokok,” katanya.

Beliau berkata, melalui pendekatan menyeluruh, KKM sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu dinamakan ‘Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) yang akan dilancarkan secara rasmi bermula Jumaat ini.

“Operasi ini bertujuan memastikan penguatkuasaan Akta 852 dapat dijalankan secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan di seluruh negara.

“Kami mahu penguatkuasaan Akta 852 bukan sekadar menarik lesen seperti dilakukan enam kerajaan negeri, tapi penjualan vape yang masih berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN