BESUT: Masyarakat diminta memberi ruang kepada keluarga Allahyarham Nurly Sahirah Azman dan tidak melakukan sebarang perbuatan khurafat termasuk mengambil tanah di pusaranya ketika ziarah.
Nurly Shahirah adalah salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (URTB), Gerik, Perak, pada 9 Jun
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan sebahagian masyarakat yang terlalu ‘teruja’ dengan pelbagai berita berkaitan Allahyarham sehingga cenderung melakukan amalan khurafat itu boleh memberi kesan kepada keluarga Nurly Sahirah.
“Kita tidak mahu kebaikan yang ditunjukkan oleh Allahyarham Nurly Sahirah ini menjadi penyebab kepada kejadian tidak diingini. Apabila orang ramai terlampau ‘teruja’ dengan berita-berita yang disampaikan sehingga pendoman syariah yang dipegang kita tinggalkan.
“Apabila berlakunya unsur-unsur mensyirikkan Allah, sudah tentu ibu bapa Allahyarham terganggu dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Lawatan Kerja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Besut hari ini.
Mohd. Na’im berkata, masyarakat perlu merujuk terlebih dahulu kepada pihak-pihak mempunyai autoriti dalam hal agama termasuk mufti sebelum melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Sementara itu, melalui Program Ziarah Madani Peduli, beliau berkata, kira-kira RM60,000 sumbangan diagihkan kepada 10 keluarga penuntut UPSI yang dipilih.
“Bantuan berjumlah RM7,500 kepada keluarga mangsa terkorban dalam kejadian di Gerik dan RM4,000 diberikan kepada pelajar yang tercedera yang disumbangkan melalui pelbagai agensi. “Sebanyak 32 lagi mangsa terlibat disampaikan bantuan secara berperingkat, ” katanya. – UTUSAN