Moca: Rekaan retro dengan sentuhan moden

Moca: Rekaan retro dengan sentuhan moden

DI sebalik reka bentuk klasik, Moca dilengkapi pelbagai kelengkapan moden.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACAM ya, macam tidak. Sekali pandang, reka bentuknya mengingatkan saya pada jenama skuter terkenal dari Itali.

Tidak hairanlah ramai yang berpaling melihatnya untuk kepastian setiap kali berselisih. Atau mungkin juga warna yang ceria membuatkannya jadi tumpuan di atas jalan.

Dengan rekaan retro, ia menggamit nostalgia gaya hidup ibu bapa dan datuk nenek kita sewaktu mereka muda dahulu. Namun, di sebalik reka bentuk klasik ikonik sedemikian, ia dilengkapi dengan pelbagai sentuhan moden.

Dipasang paparan meter digital yang memudahkan penunggang memperoleh maklumat-maklumat penting seperti kelajuan semasa, aras bahan api, waktu. Juga ciri-ciri keselamatan seperti brek cakera hadapan selain lampu utama dan lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED).

Dinamakan Moca, ia merupakan antara model terkini di bawah jenama Moda keluaran AFY Mobility Industries (AMI) yang berada dalam pasaran. Berkapasiti enjin 110 cc, skuter ini hanya seberat 89 kilogram (kg).

Dengan tinggi tempat duduk 738 milimeter (mm), mereka yang baharu belajar tunggang motosikal pun mudah nak mengendalikan Moca. 

Lincah dan ringan, amat praktikal untuk kegunaan dalam bandar. Tunggang sahajalah ke mana-mana laluan sempit dan kecil, bukan masalah bagi Moca untuk menyelit atau mencelah.

Namun, disebabkan kelebihan tersebut, harus hati-hati buat mereka yang baharu pertama kali menunggangnya. Saya sendiri melalui detik mencemaskan sebaik sahaja membawanya keluar dari bilik pameran untuk sesi tunggang uji, baru-baru ini.

Dalam kelajuan antara 60 hingga 70 kilometer sejam (km/j), saya cuba mengelak lopak. Tindakan agresif pada hendal membuatkan saya hampir hilang kawalan berikutan badan skuter yang ringan itu.

Bagaimanapun, ia bukanlah hal besar. Mana-mana penunggang pun perlu ambil masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera baharu.

Pada mulanya saya beranggapan skuter ini sekadar jentera untuk ulang alik ke masjid atau jalan-jalan hirup angin petang dalam taman. Namun, tanggapan saya itu ternyata meleset.

Menunggang Moca sepanjang empat hari yang diperuntukkan membuatkan saya rasa sentiasa muda. Mana tidaknya, warna yang ceria, karakter lincah dan gaya tunggangan membuatkan saya lebih bersemangat!

ENJIN Moca berkapasiti 110 cc.

Tiada istilah ‘stres.’ Sesak macam mana pun jalan raya, Moca meluncur lancar dengan badannya yang kecil molek dan ringan.

Nak letak dalam kawasan parkir dengan ruang sempit pun bukan masalah. Jadi, nak dijadikan sebagai kegunaan harian seperti ulang alik kerja memang praktikal.

Ada rak belakang dan cangkuk untuk bawa beg beli-belah atau barangan peribadi.

Ditambah ada ruang simpanan di bawah tempat duduk. Bolehlah simpan baju hujan atau benda-benda kecil di bawahnya.

Tapi, ada kelemahannya juga. Ruangnya terhad, tidak boleh letak topi keledar kecuali jenis ‘steng.’ Terpaksalah kendong ke hulu ke hilir, takut hilang.

Saya sempat menguji Moca untuk mengetahui keselesaannya bagi tunggangan dalam jarak sederhana jauh. Saya mengandaikan diri sendiri tinggal di Ampang dan bekerja di Klang.

Jarak perjalanan perlu saya tempuh adalah kira-kira 50 km dalam tempoh sejam tanpa henti. Saya menjangkakan punggung saya akan terasa kebas dan pinggang lenguh-lenguh.

Bagaimanapun, saya tidak melalui pengalaman sedemikian. Sebaliknya saya tetap selesa dengan tempat duduk dan posisi tunggangan.

Moca didatangkan dalam empat warna pilihan iaitu Neon Orange (jingga), Piano Black (hitam), Ocean Blue (biru) dan Citrus Lime (hijau). 

Ia dijual pada harga RM3,988 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Pembeli turut ditawarkan pakej jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.

Selain itu, pembeli juga boleh memasang aksesori seperti penghadang angin depan dan kotak simpanan belakang.

Sementara itu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan AMI, Datuk Jeffrey Lim berkata, meskipun ditawarkan pada harga berpatutan, pihaknya tidak berkrompomi dari aspek kualiti.

“Apa yang paling penting adalah kualiti produk. Jika tidak, konsumer tidak akan berpuas hati dengan sesuatu jenama,” katannya.

Beliau menjangkakan kira-kira 1,000 unit Moca dijual sehingga penghujung tahun ini.

Bagi yang mahukan sebuah skuter yang mudah ditunggang, mudah dimiliki, serba boleh, boleh ke mana-mana terutama jarak dekat, Moca adalah pilihan tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN