Harga emas dijangka cecah RM700 segram tahun depan

Harga emas dijangka cecah RM700 segram tahun depan

ANTARA bentuk-bentuk emas dalam pasaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PRESTASI emas pada 2025 antara yang terkukuh dalam sejarah, meningkat lebih daripada 70 peratus setakat tahun ini dan menetapkan pelbagai rekod baharu apabila pelabur bertindak balas terhadap faktor risiko global dan dinamik makroekonomi.

Lebih menarik, harga emas telah mencapai paras tertinggi rekod lebih daripada 50 kali tahun ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib berkata, di Malaysia, harga emas tempatan kini berada pada RM680 segram, meningkat daripada kira-kira RM580 segram pada pertengahan Disember 2025 (15 Disember).

“Tidak mustahil harga emas tempatan boleh mencapai RM650 hingga RM700 segram.

“Bagaimanapun, Habib tidak melihat emas dari sudut spekulatif atau sasaran harga semata-mata. Kami menumpukan kepada memastikan pelanggan mendapat maklumat yang tepat dan menyeluruh, supaya mereka dapat membuat keputusan pelaburan yang bijak dan berdasarkan pemahaman nilai emas sebagai aset jangka panjang. 

“Potensi kenaikan lanjut tidak boleh diketepikan dalam beberapa minggu akan datang dan sepanjang tahun hadapan, terutamanya jika faktor global seperti dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan aliran permintaan aset selamat terus wujud,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut beliau, faktor utama yang mempengaruhi harga emas ketika ini adalah dasar kadar faedah global dan ketidaktentuan geopolitik.

“Pemotongan lanjut kadar faedah AS dijangkakan pada tahun hadapan (2026) dengan dua penurunan kadar dijangka, susulan data pengangguran yang mencatat paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun, memberi petanda kepada kemungkinan perlambatan ekonomi,” katanya. 

Pada masa yang sama, risiko geopolitik global mendorong pelabur beralih kepada emas sebagai aset perlindungan.

“Situasi ini, bersama de­ngan faktor makroekonomi lain seperti pergerakan dolar AS dan permintaan tempatan, terus memberi tekanan kepada harga emas dan menyumbang kepada pergerakan harga yang tinggi sekarang.

“Kenaikan harga emas turut disokong oleh pembelian emas oleh bank-bank pusat, yang terus menambah rizab emas mereka,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, harga emas dijangka mencatatkan peningkatan sederhana pada suku pertama tahun hadapan, dengan anggaran sekitar RM600 hingga RM620 segram. 

Katanya, kenaikan ini didorong oleh permintaan yang tinggi sempena musim perayaan, khususnya apabila emas menjadi pilihan sebagai perhiasan dan aset simpanan.

“Permintaan bermusim ini lazimnya memberi kesan langsung kepada harga emas di pasaran tempatan. 

“Selain faktor perayaan, emas juga terus dilihat sebagai instrumen perlindungan nilai yang selamat, terutamanya dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Walau bagaimanapun, saya menjangkakan harga emas akan menurun sedikit pada suku kedua tahun hadapan apabila permintaan kembali normal,” katanya. 

Beliau bagaimanapun berkata, agak sukar untuk mencapai RM700 pada tahun hadapan. 

“Hal ini kerana China merupakan pengeluar utama emas dunia (sekitar 10 peratus) permintaan yang tinggi terhadap emas oleh rakyat mereka juga menjadi pendorong kenaikan ini,” katanya, 

Meskipun berlaku penurunan kecil, harga emas dijangka kekal stabil sekitar RM600 segram, menunjukkan pasaran yang masih kukuh dan seimbang.

“Secara keseluruhan, trend ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap emas sebagai aset jangka panjang. Pengguna dan pelabur disarankan untuk merancang pembelian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN