KUALA LUMPUR: Kementerian Digital menjangkakan undang-undang berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan dibentangkan di Parlimen pada suku kedua tahun hadapan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya masih menantikan laporan penuh berhubung rangka kerja kawal selia AI daripada jawatankuasa yang dilantik sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.
“Sebaik laporan itu selesai maka saya akan terus bentangkan dapatan dan cadangan kepada Kabinet.
“Sudah tentu, semuanya bergantung kepada keputusan Jemaah Menteri” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Twin Accelerator 2025 di sini, hari ini.
Kata Gobind, tadbir urus terhadap AI merupakan satu keperluan, namun bentuk pelaksanaannya masih dalam pertimbangan samaada menerusi perundangan, peraturan atau sekadar piawaian industri.
‘Meskipun teknologi menawarkan pelbagai peluang besar namun ia juga hadir dengan pelbagai risiko yang perlu ditangani secara berhemah dan menyeluruh.
“Risiko akan hadir dalam bentuk berbeza mengikut jenis teknologi, dan bagaimana kita menanganinya adalah sesuatu yang perlu kita fikirkan bersama secara teliti,” katanya.
Mengulas mengenai jangkaan garis masa, Gobind berkata, beliau berharap undang-undang berkaitan AI itu dapat dibentangkan di Parlimen dalam tempoh lebih setahun dari sekarang.
“Saya berharap dapat membentangkannya. Jika perlu dibentangkan di Parlimen dan saya rasa memang ada keperluan. saya turut jangka akan ada perundangan untuk meliputi bidang-bidang tertentu,” ujarnya. – UTUSAN