UMNO harap perintah tahanan rumah Najib dilaksana

UMNO harap perintah tahanan rumah Najib dilaksana

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO berharap perintah terhadap tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat dilaksanakan segera.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti bersyukur dengan pengesahan kewujudan Titah Addendum oleh Peguam Negara sekali gus memperakui titah bagi penahanan rumah Najib.

Justeru itu katanya, UMNO memohon ihsan kepada Yang di-Pertuan Agong agar titah tahanan rumah tersebut dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Seri Paduka berpandukan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Semoga dengan limpah kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan membolehkan Datuk Seri Najib mendapat keringanan hukuman yang telah tertunda lebih setahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Pada 9 Julai lalu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, pihaknya bersetuju titah itu wujud namun mempertikaikan cara atau pendekatan bukti baharu itu dikemukakan di mahkamah.

“Kami berpendirian, titah itu wujud namun prosedur untuk mengemukakannya sebagai bukti tambahan (pada perbicaraan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi), perlu dipatuhi.

“Oleh yang demikian, kami bersandarkan kepada hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini dan menyerahkan kepada mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada 28 April lalu, Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merujuk beberapa persoalan antaranya sama ada wujud sebarang kewajipan di bawah undang-undang untuk memaksa mana-mana pihak berkuasa mengesahkan kewujudan dan memberikan salinan dokumen kepada pihak pemohon, terutamanya ke atas Peguam Negara yang hanya bertindak atas kapasitinya.

Selain itu, Peguam Negara memohon Mahkamah Persekutuan untuk memutuskan sama ada pihaknya boleh mengemukakan keterangan baharu yang akan memberikan kesan undang-undang terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang boleh dicabar secara langsung atau tidak langsung.

Pada 6 Januari 2025, Mahka­mah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana res­ponden yang dinamakan da­lam permohonan memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Je­neral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN