Ulasan Superman: ketika naratif bertemu naratif - Utusan Malaysia

Ulasan Superman: ketika naratif bertemu naratif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu temu bual ikonik antara penyair dan pejuang asal Palestin, Mahmoud Darwish dengan wartawan Israel, Helit Yeshurun pada 1996, ‘Exile Is So Strong Within Me, I May Bring It to the Land’, Darwish menyebut bahawa perlu untuk orang Palestin menuliskan kisahnya sendiri. Cerita itulah yang akan diwariskan ke bumi.

Perang memadamkan sejarah lampau sesebuah bangsa, mereka kehilangan masa lalunya. Namun melalui tulisan, seseorang boleh menghubungkan masa silam dan peristiwa akan datang untuk bangsanya.

Darwish ingin menjadi seseorang yang membangun naratif bangsa dan tanah lahir yang sudah diputarbelitkan.

Kent terlongo ketika video mendiang ibu dan ayahnya dipaparkan di papan iklan. Agensi berita besar dunia membawa naratif bahawa kebaikan yang ditunjukkannya selama ini hanyalah sekadar grooming – semacam dedak diberi makan pada ayam sebelum disembelih. Kata Lex Luthor, Superman memiliki niat lebih licik mahu menakluk dunia.

Dalam sebuah malam yang suku ghairah, Superman jujur kepada kekasihnya, Lois bahawa dia datang dari sebuah planet bernama Krypton yang sudah dimusnahkan. Kent bukan hanya hilang orang tua, tapi tanah dan juga sejarah peradaban bangsanya.

Dia kemudian dihantar ke bumi dan menerusi pesan terakhir ibu ayah, dia berharap Kent menjadi manusia paling ‘super’ dengan memperjuangkan keadilan dan kebaikan.

Namun, memetik temu bual Mahmoud Darwish. Dalam pergelutan antara kuasa dan keadilan, selalunya kita akan lebih condong kepada kuasa. Superman ingin menjadi titik sejarah yang mendamaikan perang di Jarhanpur daripada syaitan-syaitan laknat tentera Boravia.

Tapi setiap yang menjadi saksi kepada sejarah turut berdepan penderitaan, ia semacam sudah resam orang berjuang. Begitu juga Superman yang dibantai orang di tampuk kuasa baik Lex Luthor atau ahli politik gemuk berambut oren.

Walaupun Boravia dan Jarhanpur adalah negara yang dibangun sebagai fiksyen dalam versi kepengarahan James Gun, namun cerita yang dibawa filem Superman tidak jauh daripada karakter komikal yang diperkenalkan pada 85 tahun lalu.

Ada lucu, dan sisi rapuh­nya sebagai manusia walaupun saya tidak berkenan dengan beberapa dialognya di bahagian peleraian yang kedengaran cringe.

Saya tidak peduli (tidak ambil berat sebagai hujah) teori penonton mengatakan filem ini anti-Israel atau menyokong Israel, juga beberapa pengkritik barat berkata filem ini semacam menceritakan Putin dan Ukraine.

Tapi yang pasti, Superman tidak membawa colonial gaze dan itu sangat kita perlukan dalam naskhah adiwira hari ini. Jika ada pihak yang terasa dengan filem ini, mungkin mereka perlu berfikir yang dibenci adakah Superman atau naratifnya yang anti kolonial?

Dalam filem ini, Superman berjaya membalikkan naratif dan meraih semula sokongan agensi besar dunia. Rakyat Jarhanpur diselamatkan, termasuklah kanak-kanak yang memegang bendera di barisan hadapan. Mereka tidak perlu lagi menanggung beban emosi dan kelaparan.

Superman mengembalikan harapan bahawa kebaikan akan memenangkan orang berjuang. Seperti sajak popular, State of Siege yang pernah dituliskan Darwish sebelum meninggal dunia yang sudah diterjemahkan sebagai penutup ulasan kali ini.

‘Di lereng bukit ini, menanti senja dan laras waktu, di antara taman yang berselimut bayang-bayang patah, kami kerjakan apa yang tahanan dan penganggur lakukan: kami terbitkan harapan, demi subuh yang bakal menjelang’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN