Jadi doktor pada usia 57 tahun

Jadi doktor pada usia 57 tahun

ABDUL Rahman Mohamed (dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada Dr. Ng Jet Kwan pada Upacara Konvokesyen Ke-63 USM di George Town, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Usia bukan penghalang untuk mencapai impian. Ia dibuktikan oleh Dr. Ng Jet Kwan, 57, apabila melakar sejarah menjadi graduan Ijazah Doktor Perubatan (MD) tertua di Malaysia pada Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Dr. Ng atau mesra disapa sebagai Uncle Jet berkata, dia bercita-cita untuk menjadi doktor sejak kecil, namun, hasrat untuk menyambung pengajian pada awal 90-an tersekat disebabkan peluang terhad kerana hanya terdapat empat institusi pendidikan tinggi awam yang me­nawarkan program perubatan pada masa itu.

Dr. Ng berkata, dia akhir­nya memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom (UK), selepas tidak berjaya menempatkan diri dalam bidang pengajian perubatan.

“Selepas menjadi jurutera selama 10 tahun, saya sambung belajar dalam perubatan tradisional Cina di sebuah universiti di China dan menjalankan perniagaan bersama isteri, Jasmine Lim, 57.

“Kemudian, ada seorang rakan berkongsi maklumat yang USM menawarkan program MD melalui laluan USM+1 dan setelah meneliti syarat dan kelayakan, saya mendapati ia sepadan dengan latar akademik saya dan terus memohon untuk menyambung pelajaran di USM dalam bidang perubatan,” kata anak kelahiran Johor itu, ketika ditemui di sini.

Dr. Ng berkata, dia kini sedang menjalani kursus Pegawai Perubatan Pelatih Siswazah di Hospital Pakar USM (HPUSM) di Kubang Ke­rian, Kelantan dalam bidang pembedahan am.

Menurutnya, antara kesukaran yang dialaminya adalah untuk memahami loghat Kelantan sehingga membataskan komunikasinya ketika berada di sana.

Bagaimanapun, Dr. Ng berkata, dia kini bukan sahaja boleh bertutur dalam loghat Kelantan, malah menyukai segalanya tentang Kelantan terutama berkaitan makanan.

“Belajar bersama rakan yang jauh lebih muda pula bukan masalah bagi saya kerana mereka banyak membantu dan menerima kehadiran saya dengan bai,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canse­lor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, program MD USM+1 merupakan program lima tahun merangkumi pengajian praklinikal tahun 1 dan 2 di luar USM manakala tahun 3 hingga 5 dijalankan sepenuh masa di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN