Turunkan inflasi makanan - Hamzah

Turunkan inflasi makanan – Hamzah

parlimen
Hamzah Zainuddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta berusaha menurunkan infasi makanan bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk  Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkata, kenyataan kerajaan yang menggambarkan keadaan ekonomi negara dalam keadaan baik tidak diterjemah kepada realiti yang dihadapi rakyat.

Katanya, realiti dihadapi rakyat amat berbeza terutama isu inflasi makanan, antara didedahnya harga ikan kembung yang meningkat daripada RM14.80 kepada RM16 sekilogram di Kuala Lumpur selepas peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Bila saya mendengar jawapan daripada timbalan menteri angka-angka (inflasi makanan) ini menunjukkan bahawa prestasi baik sekali.. tak payahlah buat himpunan rakyat pada hari Sabtu ini.

“Inflasi makanan ini sebenarnya meningkat. Dia kena lihat dari segi realitinya yang menyebabkan rakyat tertekan. Fokus yang kita nak adalah supaya kerajaan mencari jalan untuk menurunkan inflasi makanan ini.

“Selain itu, jangka masa sasaran strategi yang dibuat oleh kerajaan kerana menaikkan SST itu apakah mampu untuk menurunkan harga makanan? Tidak payahlah kita cerita tentang Jualan Rahmah kalau harga yang sebenarnya masih lagi naik,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan tambahan itu dikemukakan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying mengakui bahawa peluasan SST memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, khususnya terhadap kenaikan harga makanan.

“Pelaksanaan cukai itu bersifat tersasar dan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau harga dari semasa ke semasa bagi memastikan kos sara hidup kekal terkawal, terutama bagi barangan asas,” katanya.

Hamzah dalam soalan asal meminta Menteri Kewangan menyatakan strategi kerajaan bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat berikutan jumlah hutang negara kini mencecah RM1.5 trilion.

Katanya, pengumuman Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk 2025 jatuh kepada 3.9 peratus dan pada masa negara perlu berdepan tarif timbal-balik daripada Amerika Syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN