Tukar kerajaan di Parlimen, bukan di jalanan

Tukar kerajaan di Parlimen, bukan di jalanan

FAKHARUDDIN MOSLIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara esok disifatkan sebagai tindakan berunsur politik semata-mata dan bukannya jalan penyelesaian kepada isu negara.

Ketua Cabang PKR Tenggara, Fakharuddin Moslim berkata, kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden bahawa himpunan itu tidak bertujuan menukar kerajaan tetapi sekadar mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah cukup membuktikan wujudnya agenda peribadi di sebaliknya.

Menurut beliau, proses pertukaran Perdana Menteri hanya boleh dilakukan melalui Parlimen, bukannya menerusi protes di jalanan.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Persoalannya, adakah Perikatan Nasional mempunyai jumlah mencukupi untuk membawa usul undi tidak percaya di Parlimen? Jika tidak, maka himpunan ini hanyalah retorik politik semata-mata untuk kekal relevan.

“Namun hakikatnya, ini bukan soal rakyat, bukan soal dasar, tetapi semata-mata politik dendam terhadap seorang individu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Fakharuddin berkata, Afnan sendiri sudah mengakui menyasarkan Anwar secara individu dan bukannya terhadap kerajaan atau dasar-dasar yang diperkenalkan.

“Ini membuktikan bahawa himpunan ini bukan demi rakyat, tetapi didorong oleh nafsu politik dan dendam terhadap seorang individu. Rakyat sudah muak dengan pendekatan politik lama seperti ini,” katanya.

Fakharuddin juga mempersoalkan kejujuran PN yang sehingga kini tidak pernah menjelaskan siapakah calon pengganti sekiranya Anwar dijatuhkan.

“Mereka hanya tahu menjatuhkan, tetapi tidak pernah menawarkan pelan pembangunan yang membina. Seperti disebut Saudara Shahril Hamdan dalam podcast Keluar Sekejap, kekuatan Anwar berpunca daripada kelemahan pembangkang yang gagal memberi alternatif,” katanya.

Fakharuddin berkata, kerajaan hari ini dibentuk atas semangat perpaduan dan kestabilan manakala serangan terhadap Perdana Menteri dilihat sebagai usaha mengganggu keyakinan pelabur dan proses pemulihan ekonomi negara selepas kemelut politik antara 2020 hingga 2022.

Fakharuddin berkata, serangan terhadap Anwar secara peribadi tanpa menyentuh keseluruhan kerajaan, membuktikan bahawa pentadbiran ini berfungsi secara sistematik dan berkesan.

“Rakyat tidak mahu jalanan dijadikan alat perebutan kuasa. Apa yang rakyat perlukan ialah penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan kestabilan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN