GFM Services raih kontrak RM148.2 juta di PIC 

GFM Services raih kontrak RM148.2 juta di PIC 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu (IFM), GFM Services Berhad (GFM) menerusi anak syarikat tidak langsungnya, HIMS Integrated Services Sdn. Bhd. meraih dua pesanan kerja bernilai RM148.2 juta bagi pakej kerja penyelenggaraan utama di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor.

Pesanan kerja tersebut diperoleh daripada Pengerang Petrochemical Company Sdn. Bhd. dan Pengerang Refining Company Sdn. Bhd. di bawah kontrak Penyelenggaraan Mekanikal Utama Bersepadu dan Mekanikal Statik Penyelenggaraan (TA4MS) sedia ada.

Projek ini menandakan kitaran penyelenggaraan utama yang pertama buat PIC sejak kompleks hiliran bersepadu berkenaan memulakan operasinya pada tahun 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan GFM, Ruslan Nordin berkata, perolehan pesanan kerja ini merupakan satu pencapaian penting bagi segmen tenaga GFM untuk membuktikan keupayaan syarikat menguruskan skop kerja yang kompleks dalam persekitaran operasi hiliran yang dikawal selia ketat.

“Dengan kerja-kerja ekstensif yang bakal dilaksanakan dalam satu kompleks bersepadu tunggal, projek penyelenggaraan ini dijangka menjadi antara yang terbesar seumpamanya di Malaysia. Ia sekali gus memberikan keterlihatan perolehan yang bermakna bagi bahagian tenaga kami,” katanya dalam kenyataan.

Aktiviti penyelenggaraan berskala besar yang melibatkan jumlah jam bekerja yang tinggi ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027.

Kumpulan juga menjangkakan bakal memperoleh skop kerja tambahan secara progresif seiring dengan kemajuan aktiviti penyelenggaraan di tapak projek.

Bahagian tenaga GFM, yang merangkumi Highbase Strategic Sdn. Bhd., HIMS Integrated Services Sdn. Bhd. (syarikat usaha sama 51 peratus milik GFM bersama Mun Siong Engineering Limited dari Singapura) dan Shapadu CR Asia Sdn. Bhd. (SCRA) kini berkembang menjadi penyumbang utama kepada kumpulan.

Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, bahagian tenaga menyumbang sebanyak RM51.4 juta atau 62.2 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan Kumpulan GFM. 

Ketiga-tiga entiti ini merupakan kontraktor residen di PIC di bawah kerangka kerja TA4MS yang merangkumi penyelenggaraan mekanikal khusus, pemeriksaan serta kerja pembaikan bagi peralatan loji statik ketika tempoh penutupan terancang.

“GFM telah berkembang daripada penyedia pengurusan fasiliti tulen kepada kumpulan perkhidmatan yang lebih luas. Melalui pengambilalihan strategik, kami berjaya membina platform yang lebih kukuh, memperdalam keupayaan teknikal, serta meluaskan akses kepada peluang penyelenggaraan hiliran berskala besar,” tambahnya.

Melihat kepada skala segmen tenaga yang terus berkembang, GFM terus menilai pilihan strategik untuk membuka nilai jangka panjangnya, termasuk kemungkinan untuk melaksanakan penyenaraian berasingan pada masa hadapan, tertakluk kepada keperluan kawal selia dan keadaan pasaran semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN